11.1.11

Kampung Pecah Buat Mesyuarat

BOTM


Gua tercelik mata dari tidur yang lena ditengah hari dek bahang panas matahari yang tak dapat ditahan oleh atap rumah gua. Mata melihat ke arah jam dinding di lantai yang cuma disandar dibiarkan tak bersangkut ke dinding rumah. Walau kabur sedikit cermin jam itu, tapi jarum penunjuk masanya masih tegar untuk berputar. Jam dua petang lebih sedikit dua belas minit.

"Semekom..semekom...uuuhaaaii...semekom." Suara perempuan kedengaran dari luar rumah.

Siapa pula yang bertandang ke rumah gua di tengah hari buta begini. Memberi salam macam tak memberi salam nampak gayanya. Gua bangun perlahan dan melangkah ke tepi tingkap sebelah pintu. Dari birai-birai tabir tingkap gua cuba melihat siapa gerangan manusia yang berdiri di beranda rumah. Tiada siapa yang kelihatan di beranda itu selain ayam yang sedang mengeram telurnya berhampiran rak kasut gua. Pelik. Gua jengketkan kaki gua dan panjangkan leher sedikit untuk cuba melihat lagi. Tiada siapa juga yang kelihatan.

Tokk! tokk tokk!! Semekomm!! oii Zan!! Semekom!! Oiiii!! 

Ketukan pintu dan salam lembut tadi telah bertukar menjadi kurang ajar pula kali ini. Gua capai penyapu lidi sebesar lengan yang ada di sebelah pintu. Seperti mencari nahas manusia itu memberi salam kurang ajar sedemikian rupa. Gua genggam tombol pintu dengan geram dan menarik tombol pintu itu pun dengan geram. Tapi tombol saja yang tertarik, pintunya masih juga tertutup. Berlubang terus pintu rumah gua. Hati gua tambah panas. Dari lubang bekas tombol pintu itu gua melihat dengan membongkokkan badan. Gua nampak mata yang berkedip-kedip juga sedang melihat gua menerusi lubang bekas tombol pintu yang tercabut tadi dari luar. Mata bertentang mata.

"Wei Zan, aku lah ni. Bukalah pintu." Pemilik mata itu bersuara dari luar.

Gua membaca jampi si dukun Vizard Piremon untuk membuka pintu. Pintu pun terbuka dengan perlahan-lahan.

"Lu rupanya. Patut gua tak nampak dari tingkap. Apa pasal lu memekak tak beradat di tengah hari buta begini?"

Gua berkata pada seorang perempuan bertubuh kecil dan pendek yang bernama Keciq.

"Memekak apa? Aku bagi salam tak pun kau jawab. Nah surat jemputan mesyuarat."

Keciq menjawab gua dengan cara macam tak pernah kena ajar adat bercakap dengan orang dewasa sambil menghulur sekeping sampul surat putih pada gua. Tak padan dengan kecil, kurang ajar pula sama gua. Mentang-mentang dia anak ketua kampung. Gua ambil surat itu pakai kaki.

"Bapak pesan wajib datang."

Keciq memandai-mandai menyampaikan pesan dan terus melompat dari beranda ke halaman rumah menuju ke basikal empat rodanya. Satu tayar di depan, tiga tayar di belakang. Pesanan Keciq tadi tu yang cakap wajib datang, gua yakin hanya dibuat-buatnya sendiri. Macam saja gua tidak tahu perangainya yang suka mereka-reka cerita.

Sembilan bulan lepas, satu kampung datang ke rumah Hj.Bobby. Gua dan Ustaz Samizul waktu tu datang dengan menjinjing keranda naik motor dari surau. Mahu tiga empat kali juga kami jatuh ke tepi semak sebab cuba mengimbangi keranda mayat di atas motor. Hajah Lina Ramsah yang belum hajah waktu tu pula datang membawa dua batang kayu jati untuk dijadikan nisan. Orang kampung lain siap membawa buku yassin dan tasbih. Cik Shalley dan Cik Nieja seperti biasa bawa mulut sahaja. Semua datang semata-mata mahu menghulurkan rasa simpati kepada keluarga Hj.Bobby atas kematian mengejut Hj.Bobby. Bila semua sampai depan rumah Hj.Bobby, semua bertempiaran lari lintang pukang bila Hj.Bobby muncul di muka pintu rumahnya dengan rambut kembang dek tidur yang panjang. Ustaz Samizul pun lari sampai lupa yang dia ada bawa motor. Apa jenis punya ustaz ikut lari dengan orang kampung. Itu semua sebab si Keciq yang menyampaikan berita pada Cik Nieja dan Cik Shalley mengatakan bapa dia sudah mati. Bila suatu berita disampaikan pada kedua gadis itu, maka seperti biasa satu kampung lah akan tahu.

Sambil duduk mencangkung di muka pintu rumah, gua buka sampul surat berwarna putih itu tadi dan mengeluarkan sekeping surat yang mana "letter head" surat itu ditempel dengan gambar Hj.Bobby. Gila betul ketua kampung gua ni.

Saudara/saudari dijemput untuk hadir ke mesyuarat kemajuan Kampung Pecah
bersama wakil rakyat Dato Mohd Farid Majid, besok hari jam 10 pagi. 
Bertempat di balai raya Kampung Pecah. Sekian.

Yang benar,
Hj.Bobby (Ketua Kampung)  
 

Gua mengenggam surat sampai jadi bulat-bulat surat itu selesai membaca. Kemajuan kampung konon. Lapan tahun jadi ketua kampung, tiada satu pun kemajuan yang boleh dibanggakan gua tengok. Rumah dia saja yang semakin besar setiap tahun. Siap boleh kahwin dua lagi. Tak cukup dengan makcik Glay , kahwin pula dengan makcik Finnie secara diam-diam.

Gua membaling kertas surat yang telah padu bulatnya itu ke kepala ayam yang sedang leka mengeram telur di tepi rak kasut gua. Terbang ayam itu ke halaman rumah dengan perasaan terkejut. Gua bingkas bangun mengambil sebiji telur ayam itu tadi untuk dibuat lauk. Ayam yang sedang termundar mandir hilang akal di halaman rumah menjeling ke arah gua. Marah agaknya.

************************************

Keesokan hari seperti yang dirancangkan, penduduk-penduduk kampung yang sudah akil baligh dan tahu makna mesyuarat dan kemajuan kampung hadir di balai raya. Termasuklah pemilik gerai mee wantan di simpan tiga kampung, Wan Tan Ho yang pastinya ingin menyuarakan rasa tidak puas hati minyak masak naik harga.

Hajah Lina Ramsah pun dengar-dengar ada benda penting mahu disuarakan pada wakil rakyat berkenaan lesen perniagaan menjual pakaian bundlenya yang dibatalkan secara tiba-tiba oleh majlis daerah atas sebab menjual kasut seludup. Gua syak thebeybeh yang buat laporan pada majlis daerah yang Hajah Lina Ramsah jual kasut seludup dari negara jiran. Pasal tu mungkin batang hidung thebeybeh pun tidak kelihatan dalam balai raya hari ini. Gua ingat mahu bagitahu perkara itu pada Hajah Lina Ramsah. Manalah tahu Hajah Lina bagi gua pegang satu cawangan perniagaan bundlenya bila isu lesen perniagaannya selesai nanti. Tak juga gua dipandang serong oleh orang kampung sebab tiada kerja tetap. Tapi bila gua fikir balik, tak elok pula kalau gua melagakan orang dan menjadi batu api. Masuk neraka kata Ustaz Samizul.

Selain dari itu, isu solat jumaat yang selalu tak cukup korum yang gua bincangkan bersama Ustaz Samizul semalam di surau bakal diketengahkan oleh Ustaz Samizul pada mesyuarat kali ini. Jumaat lepas, gua dan Ustaz Samizul saja yang solat jumaat. Gua jadi bilal, ma'mum dan jurudengar pada khutbah Ustaz Samizul yang menjadi khatib langsung jadi imam. Tajuk khutbah Ustaz Samizul, Puasa bulan Ramadhan. Mengarut betul. Bulan ramadhan pun enam bulan lagi, tapi dah baca khutbah pasal puasa Ramadhan. Macam tak kena pula gua rasa solat jumaat dua orang sahaja. Entah mazhab mana Ustaz Samizul ikut. Dia kata sah, jadi gua ikut saja. Siapalah gua ini untuk membantah, apatah lagi berkaitan dengan bab agama-agama.

Cik Shalley dan Cik Nieja pun tak ketinggalan turut sama mesyuarat kali ini. Tiada bawa apa-apa isu tapi sibuk juga mahu hadir. Gua masih ada rasa tidak puas hati dengan kedua gadis itu pasal kes kerbau Hajah Lina Ramsah tempoh hari. Cik Hikmah dan Cik Catherine pun datang sama walau mereka berdua gua tengok jenis tiada masalah punya manusia. Cuma pada tatatertib pakaian mereka sahaja yang sebenarnya bermasalah hari ini. Kedua-dua memakai pakaian untuk pergi menebas hutan. Tak baca surat jemputan kah mereka berdua itu? Tim-tim anak ketua kampung dengan bini pertamanya yang dipanggil makcik Glay oleh orang kampung itu sedang mentertawakan Cik Hikmah dan Cik Catherine. Siap memanggil adik tirinya si Keciq untuk ketawa mengejek bersama-sama. Ketawa punya ketawa, pangg!! kena lempang dengan Hj.Bobby. Diam terus kedua budak itu.

Dalam suasana hingar bingar di dalam balai raya yang semua sibuk mahu bercakap antara satu sama lain, gua keluar sekejap untuk menghisap rokok. Gua mahu bercakap dengan siapa pun gua tak tahu. Sombong betul orang kampung gua ni dengan gua. Mentang-mentang rumah gua tiada siling plywood. Yang ditunggu Dato Mohd Farid pun belum datang. Jadi mesyuarat belum boleh dimulakan. Kalau setakat mengadu domba pada Hj. Bobby, memang takkan ke mana adu domba itu.

Gua pun sebenarnya ada isu yang mahu diberitahu pada Dato Farid. Gua mahu tanya mana pergi subsidi tangki dan atap rumah untuk orang miskin dan tak berkemampuan yang masih belum sampai ke tangan penerima seperti Wak Sopian sejak dua tahun lepas. Wak Sopian ni seorang duda tua tiada anak yang hidup susah. Pernah sekali gua lalu belakang rumahnya yang macam bukan rumah itu, gua terlihat Wak Sopian makan tengah hari gigit kuaci saja. Kasihan sungguh gua rasa. Mendapat nikmat menonton tv cerekarama Ahmad Durrah sambil berbaring pun tak usah lah cerita kalau tiap malam rumahnya gelap tak bercahaya.

Sedang gua berfikir dengan serius dan melayan hembusan rokok kretek yang gua beli batang-batang dengan cara masuk buku hutang di kedai runcit yang hidup segan mati tak mahu punya kedai runcit milik makcik Miera tadi, awan putih di atas langit kelihatan berubah warna menjadi hitam kelabu. Angin sepoi sepoi bahasa bertukar manjadi sedikit kencang. Gua mendongak ke langit. Dari arah timur barat atas langit kelihatan sesuatu benda yang semakin menghampiri. Pada mulanya yang hanyalah setitik titik hitam di atas langit, menjadi semakin jelas kelihatan bila sudah menghampiri. Dengan perlahan-lahan seekor burung kasawari yang ditunggangi dukun Vizard Piremon siap sikat rambut belah tepi, berbaju batik warna coklat dan berseluar slack kelabu mendaratkan diri depan balai raya.Takjub sungguh gua tengok dukun itu. Dua orang pemuda juga sedang membonceng dibelakang dukun tersebut. Ariez Hazaril dan Zahiddin . Selepas mengikat leher burung kasawarinya di tiang bendera depan balai raya, Vizard Piremon melangkah serius menuju pintu masuk balai raya.

"Dah mula kah belum?"

Vizard Piremon bertanya pada gua melalui kata hatinya saja. Tapi boleh gua dengar.

"Belum. Dato Farid belum sampai."

Gua balas jawab menerusi kata hati juga. Vizard Piremon angguk kepala tanda faham dan terus masuk dalam balai raya. Zahiddin dan Ariez Hazaril yang mengikut dari belakang menjeling sakit hati ke arah gua tanpa berani buat apa-apa. Gua cuma tersengih mengejek. Dah jadi pengikut dukun Vizard Piremon rupanya mereka berdua itu.

Masuk sahaja Vizard Piremon ke dalam, langit menjadi cerah semula. Awan hitam kembali menjadi putih. Angin kembali menjadi tenang. Entah apa reaksi Ustaz Samizul bila berada sebumbung dengan Vizard Piremon. Gua intai melihat ke dalam, Ustaz Samizul berkumat kamit mulutnya memegang tasbih melihat Vizard Piremon yang sedang menghulurkan gelas menunggu tuangan kopi dari makcik Finnie, isteri kedua Hj.Bobby. Jika diperhatikan, agak liar sedikit gua tengok mata Vizard Piremon melihat makcik Finnie yang tertunduk di depannya menuang kopi. Gua geleng kepala.

Di atas pentas Hj.Bobby sedang rancak menunjuk sana sini memberi arahan pada Mikhedryanson untuk memasang mikrofon di tempat berucap atas pentas. Kelihatan gaya Mikhedryanson tu seperti sudah hilang arah memasang mikrofon bila mengikut arahan membuta tuli ketua kampung. Walaupun Mikhedryanson tu seorang juruteknik elektrik yang ada sijil dari MARA dan ada sedikit persamaan namanya dengan mikrofon, kalau sudah Hj.Bobby yang masuk campur memang kerja yang mudah bakal menjadi rumit dan sulit.

 Brrooommm!! Brrrooomm!!...Sreeeettt!!!

Sebuah kereta proton saga lama berhenti dengan cara brek mati tayar belakang terangkat di jalan raya depan balai raya. Dr.Hanis punya kereta. Ada siap pasang spot rim baru nampaknya kereta Dr.Hanis itu. Spot rim baru maknanya perniagaan bengkel kereta Dr.Hanis semakin maju di pekan sana. Gua dengar orang kampung bercerita ketika gua lepak warung Wan Tan Ho dua minggu lepas, dia dapat tender kerajaan membaiki kenderaan angkat jenazah dan kereta ambulans hospital selama dua tahun. Cik Nieja dan Cik Shalley yang ada di warung waktu tu pun mulalah menabur fitnah cakap Dr.Hanis ada hubungan sulit dengan pengarah hospital di pekan. Gila punya orang.

Dalam kereta Dr.Hanis ada seorang penumpang perempuan ikut sama. Kedua-dua mereka keluar dari kereta dan berjalan menuju ke arah gua yang sedang berdiri depan pintu balai raya. Semakin hampir mereka berdua mendekati gua, semakin terserlah keayuan wajah perempuan yang dibawa Dr.Hanis dan semakin berdebar pula gua rasa. Tak pernah gua nampak pula perempuan yang bersama dengan Dr.Hanis ni samada di pekan atau di Kampung Pecah ini. Mungkin keluarga jauh Dr.Hanis barangkali gua cuba mengagak.

"Lu tengok-tengok apa pasal? Gua punya spanar nombor 13 hari tu bila mahu kasi balik?."

Dr. Hanis menyentap tanpa salam lamunan dan renungan gua pada perempuan yang ikut dengan Dr. Hanis. Perempuan cantik itu tersenyum manis melihat gelagat gua yang agak terkejut sedikit dengan pertanyaan Dr.Hanis.

"Eh, ada di rumah. Lepas mesyuarat nanti gua kasi balik."

Gua jawab seraya menjentik puntungan rokok yang masih berbara di jari gua ke arah kepala seekor ayam jantan yang sedang cuba mendekati dua ekor ayam betina di situ. Macam lain sedikit perangai ayam jantan itu. Dr.Hanis menjengah-jengah ke dalam balai raya sementara perempuan cantik itu melihat gua. Malu pula gua rasa bila dilihat sedemikian rupa. Cara berdiri gua pun semakin tak menjadi. Senget ke kiri, senget ke kanan. Kejap tangan masuk poket seluar, kejap cekak pinggang. Akhirnya gua peluk tubuh.

"Hj.Bobby dah datang?"

Dr.Hanis menyelamatkan keadaan gua yang terasa berdiri semakin tak menjadi gayanya disebabkan renungan mata perempuan cantik itu.

"Ada dah di dalam. Tapi Dato Farid belum datang."

Ujar gua pada Dr.Hanis sambil mata mencuri jeling pada perempuan yang satu lagi.

"Dato tak jadi datang. Dia hantar wakil saja. Ini dia punya P.A jadi wakil."

Sahut Dr.Hanis. Berita yang bakal memnbuatkan si Zurina adik ketua kampung kecewa hari ini. Sia-sia saja lipstik merah dan bulu mata palsu si Zurina pakai. Setakat balai raya kampung saja pun mahu juga memakai bulu mata palsu.

Ketika P.A Dato Farid itu melangkah ke barisan hadapan sambil diiring oleh Dr.Hanis, semua mata terpaku melihat perempuan itu. Keadaan yang bising menjadi tak bising. Cuma bisikan-bisikan mengumpat sahaja yang boleh didengari. Gua tengok Ariz Hazaril dan Zahiddin dari jauh, bergerak halkum mereka telan air liur. Hj.Bobby tak usah lah cerita. Ustaz Samizul pun siap membuka kopiah di kepala sambil membetulkan rambut. Dukun Vizard Piremon seperti biasa liar matanya. Mulut pun berkumat kamit pasang jampi permanis barangkali. Pendek kata, P.A Dato Farid memukau pandangan lelaki-lelaki dalam balai raya ketika ini.

Gua mengambil tempat duduk kosong tepi Wan Tan Ho yang sedang duduk berpeluk tubuh dan nampak gayanya seperti membayangkan benda bukan-bukan bila melihat P.A Dato Farid di hadapan. Tepi gua satu lagi, Cik Hikmah yang mula tak tentu arah bila gua duduk di sebelahnya. Mulalah ejas tudung dan berdehem macam tak berdehem. Belakang gua, Delilah Mat Kassim pok pek pok pek tak henti bercakap pada cik Nieja dan Cik Shalley pasal pesta tanglung. Melopong mulut kedua gadis itu dengar cerita pesta tanglung Cik Delillah. Depan gua, Zahidin dan Ariez Hazaril. Gua tendang sedikit kerusi mereka berdua. Tak berani pula toleh belakang. Atau turut sama membayangkan benda bukan-bukan macam Wan Tan Ho di sebelah gua.

****************************************

Mesyuarat kemajuan kampung Pecah berakhir seperti biasa. Tiada kata putus walau selama dua jam bermesyuarat. Isu minyak masak Wan Tan Ho gantung tak berjawab oleh P.A Dato Farid. Kena rujuk kementerian yang bertanggungjawab kata P.A Dato Farid. Wan Tan Ho angkat kaki balik warung dengan menendang pintu balai raya sampai terbelah.

Cerita lesen perniagaan kena batal Hajah Lina Ramsah pun hanyut dengan cerita pesta tanglung yang mahu dibuat oleh Delilah Mat Kassim, jiran sebelah rumah Hajah Lina Ramsah. Tengok air muka Hajah Lina macam ada kelihatan makan hati sedikit pada jirannya itu. Gua pun sedikit bingung dengan pesta tanglung yang mahu dianjurkan oleh Delilah Mat Kassim di kampung Pecah ini. Cik Nieja dan Cik Shalley pula menyokong penuh usul pesta tanglung itu dengan membuta tuli.

Isu solat Jumaat tak cukup korum yang diketengahkan oleh Ustaz Samizul berakhir dengan Ustaz Samizul membuat temujanji berdarah di simpang tiga dekat warung Wan Tan Ho dengan dukun Vizard Piremon. Ada juga Ustaz Samizul ajak gua turut sama untuk berdepan dengan dukun di simpang kampung itu tadi. Tapi gua tolak. Gila apa gua mahu cari pasal dengan seorang dukun yang menunggang burung Kasawari siap pandai terbang.

Gua punya isu untuk membangkitkan masalah subsidi tangki dan atap rumah penduduk kampung yang miskin dan tak berkemampuan dua tahun lepas yang masih belum diterima oleh penduduk kampung hanya sekadar di pinggiran sahaja. Bila dengar pasal isu subsidi itu, Haji.Bobby terus tukar topik pasal pungutan derma untuk anjuran bola sepak sembilan sebelah tertutup UMNO cawangan Kampung Pecah dan cerita perang Kesultanan Melayu Melaka lawan Portugis. Wak Sopian yang datang lambat duduk terpinggir di sudut penjuru balai raya, geleng kepala saja menahan panas di hati dengan Haji Bobby.

Isu-isu penting yang lain seperti masalah dadah, samseng jalanan, pecah tempat duit pondok telefon, kehilangan buah sawit, paip pecah, atap pondok bas yang berlubang, kanak-kanak sekolah kena ugut ketika pergi sekolah, anak-anak gadis tidak selamat ketika berjalan malam, sampailah masalah tandas sekolah rendah Kampung Pecah yang tersumbat, semua penduduk kampung sebulat suara menuding jari ke arah Zahiddin dan Ariz Hazaril. Masalah-masalah negatif sedemikian rupa tak perlulah bersusah payah untuk diselesaikan kalau sudah ada kambing hitam untuk dipersalahkan. Maka Hj. Bobby mengarahkan orang kampung untuk mengikat mereka berdua sekali lagi di tiang bendera depan balai raya. Zahiddin tiba-tiba hilang ghaib dari pandangan orang kampung selepas membaca sedikit mentera. Ariez Hazaril pun membaca mentera, tapi sempat kena lempang dengan Ustaz Samizul. Tinggallah Ariez Hazaril seorang yang kena ikat di tiang bendera. Burung Kasawari Vizard Piremon yang ada diikat di situ pada awalnya tadi, ketawa berdekah dekah hentak kaki tak henti melihat Ariez Hazaril.

*****************************

Gua sedang berbaring di atas tilam sambil melihat kad nama yang di berikan oleh P.A Dato Farid siang tadi selepas selesai mesyuarat di balai raya. Pemberian kad nama itu membuatkan orang kampung terutamanya Hj.Bobby bakal tak lena tidur malam ini.

Gua tersengih sendiri-sendiri.

"Tok Tokk Tokk!! Semekom."

Pintu rumah gua yang tidak bertombol di ketuk seorang lelaki. Gua perhatikan jam yang bersandar di dinding rumah sambil mengerutkan dahi. Jam sepuluh lebih sedikit lapan minit.

"Waalaikumsalam."

Sahut gua bingkas bangun dan menuju ke pintu. Gua alihkan tong gas yang dijadikan penahan pintu rumah gua di waktu malam dan membuka pintu rumah gua dengan jari kelingking sahaja.

"Apa nombor Ana Raffali tadi?"

Hj. Bobby berpeluh-peluh dahinya sanggup berjalan kaki dimalam hari seorang diri..

**************************
Kalau belum kenyang membaca, sila klik untuk cerita awal.

Kampung Pecah
Kampung Pecah Di Landa Musibah