7.1.11

Kampung Pecah dilanda musibah

Gua baru selesai solat Isya bersama imam Ustaz Samizul di surau Kampung Pecah. Penduduk kampung ni mahu 600 orang yang tinggal, tapi yang pergi surau cuma kami berdua. Setakat cukup syarat untuk berjemaah.

"Ana sedih melihat kampung ini yang tak ramai datang sembahyang jemaah di surau."

Kata ustaz Samizul di kaki tangga surau.

"Macam tu lah nampaknya ustaz kampung kita ni. Orangnya ramai. Tapi kita dua saja yang datang jemaah."

Gua menjawab luah rasa kesal Ustaz Samizul lepas gua toleh kiri kanan tiada orang. Jadi gua ingat Ustaz Samizul bercakap sama gua lah sebab tiada lagi orang lain di situ selain gua dan dia. Kalau bukan gua dengan siapa lagi dia bercakap? Takkan dengan malaikat pula. Memang gua lempang ustaz ni sampai merang kepalanya kalau dia kata dia bukan bercakap dengan gua.

"Mungkin pasal tu lah kampung kita sekarang ni macam-macam bala menimpa, tak gitu ustaz?"

Gua cuba menjentik sedikit kemahiran berhujah Ustaz Samizul yang tertunduk-tunduk mencari selipar jepunnya di kaki tangga surau.

"Segala bencana yang berlaku pada manusia ada sebab musababnya. Kadang-kadang bencana itu datang dari tangan kita sendiri. Tapi kita saja yang tidak sedar." Hujah ringkas Ustaz Samizul.

"Ah, kalau hujah macam tu gua sendiri pun tahu." ujar gua dalam hati.

"Baiklah, ana gerak dululah. Anta naik apa tadi datang surau?"

Ustaz Samizul bertanya pada gua ketika dia sudah berada di atas motor kapcainya. Ada can juga gua tumpang ustaz ni naik motor balik rumah nampak gayanya.

"Gua jalan kaki saja tadi ustaz. Mau pakai motor pun gua tak mampu beli."

Jawab gua sambil berdiri di tepi motor Ustaz dan mengangkat sedikit kain sarung gua siap sedia mau naik bonceng belakang motor.

"Oh, baguslah macam tu. Banyak pahala kalau jalan kaki. Ana gerak dulu lah. Esok subuh jangan tak datang surau pula. Tiada orang nak azan. Assalammualaikum!"

Preengg..prennngggg..... prennnnggggg!!!!

"Waalaikumsalam."

Gua jawab dengan menyampah. Ikut hati mahu saja gua baling ustaz ni dengan batu kerikil dari belakang. Terpaksa juga gua jalan kaki sendiri-sendiri balik rumah.

Dalam perjalanan gua memerhati sekeliling. Kejap tengok kiri. Kejap tengok kanan. Tiga langkah kaki melangkah gua tengok belakang. Mana tahu ada sesuatu yang mencurigakan. Ketika ini bukan jin atau jembalang yang gua curiga. Tapi manusia. Ya, manusia yang memecahkan suasana aman di Kampung Pecah ini sejak dua menjak kebelakangan ini.


Suasana di Kampung Pecah ketika ini sudah tak aman seperti dulu. Ada saja kejadian curi dan pecah rumah berlaku. Malam semalam heboh satu kampung bila kerbau Hajah Lina Ramsah hilang tiga ekor. Gila. Kalau ayam gua tak hairan. Ini kerbau sekali tiga ekor lesap.

Apa lagi, Hajah Lina Ramsah keliling satu Kampung Pecah mencarut-carut mencari kerbau dari awal pagi buta sampai ke petang hari ini tak jumpa-jumpa. Nama saja Hajah, tapi mencarut. Sampai reban ayam belakang rumah gua yang hanya boleh muat enam ekor ayam pun di selongkar untuk cari kerbau tiga ekor itu. Tak puas hati selongkar reban ayam gua, masuk pula dalam rumah gua sampai dapur mencari kerbau. Tak buka selipar pula tu. Geram sungguh gua. Walau pun gua tiada kerja tetap, tak lah juga gua sampai hati merembat kerbau Hajah Lina Ramsah tu. Kalau gua mahu rembat pun, macam mana gua mau angkat ketiga-tiga ekor kerbau itu. Gua mana ada lori lima tan untuk muat.

Hajah Lina cakap sama gua dia dapat tahu dari si Nieja dan Shalley Salina yang mereka nampak gua menyorok kerbau dalam reban ayam dan ada menyimpan tanduk kerbau untuk dijadikan perhiasan dinding. Gua kalau jumpa dua makhluk asing itu, gua lempang cukup-cukup. Tak habis 24 jam mengumpat saja kerja di gerai Wan Tan Ho, memfitnah pula sama gua.

Dua minggu lepas pun ada kes pecah rumah. Rumah ketua kampung, Hj. Bobby jadi mangsa. Haji Bobby bangun pagi, tv 64 inci melekat di dinding yang baru di beli hilang dari dinding rumah. Bukan tv saja, dengan dinding-dinding rumah itu hilang. Habis berlubang dinding rumah Hj.Bobby. Jatuh standard ketua kampung rumah berlubang. Padanlah dengan muka. Hari tu bukan main bongkak dengan orang kampung angkat tv dari kedai Ukiran Janaan Minda Elektromitoskopik di pekan sana. Sekarang Hj.Bobby sibuk jumpa wakil rakyat Dato Mohd Farid Majid minta subsidi papan buat dinding rumah. Hj. Bobby ini pun satu, setakat lubang rumah macam tu pun mahu minta subsidi dari Dato Farid. Mentang-mentanglah Dato Farid ada hati dengan si Zurina adik ketua kampung, maka mulalah Hj.Bobby ambil kesempatan. Main politik kotor nampak gaya Hj. Bobby itu.

Entah apa mahu jadi dengan kampung ini. Tak cukup dengan itu segala pakaian yang di sidai tak kering di ampaian luar rumah di malam hari penduduk kampung pun bersih kena sapu. Kalau dulu jiran gua selang lapan buah rumah, si Catherine berpipi gebu itu 24 jam ampaian jemurannya sentiasa full house dengan pakaian tak di angkat masuk dalam rumah. Malas punya manusia. Siap bagi upah sama gua untuk buat atap ampaian jemurannya di belakang rumah. Atap bukan alang-alang, guna atap spandik lagi. Bangun pagi, lesap segala pakaian. Dari pakaian luar sampai pakaian dalam tiada di ampaian jemurannya. Ada juga dia ajak gua pergi buat laporan polis di pekan sana. Gila apa gua mau temankan dia buat laporan kehilangan pakaian dalam dengan dia di balai polis. Gua pura-pura angkat parang mau pergi menebas waktu tu.

Akhirnya si Hikmah juga yang menjadi mangsa membonceng si Catherine pergi balai naik motor honda ex-5. Gua dengar mereka kena saman di pekan bila ada road block. Motor si Hikmah tiada road tax dan si Catherine tak pakai helmet. Kasihan juga gua sama mereka. Tapi tak mengapa, itu sebenarnya pengajaran hidup yang patut mereka dapat sebagai wanita.

Sedang gua berjalan kaki sambil menikmati rasa udara malam dan dalam fikiran ligat berfikir tentang masalah Kampung Pecah ini, sedar tak sedar gua dah sampai di kaki tangga rumah gua. Gua perhatikan lagi keadaan sekeliling rumah gua mana tahu ada  manusia-manusia yang sengaja mencari nahas dengan gua. Nampaknya tiada. Nasib baik. Gua pun melangkah naik ke rumah sambil melepaskan selipar dari kaki. Terjatuh juga sebelah selipar gua ke bawah kolong rumah. Gua biarkan saja sebelah selipar yang jatuh tadi tanpa mengambilnya semula. Kerja mengambil dan mengutip sebelah selipar di bawah kolong rumah tak elok di lakukan di waktu malam pesan Ustaz Samizul tempoh hari. Macam mengarut dan tahyul juga gua rasa pesanan ustaz itu. Sebabnya dia tak bagitahu pula. Ustaz yang suka berahsia ni kadang-kandang tak boleh pakai. Cakap sajalah malas mau turun semula ke bawah kolong bila dah naik atas rumah kan senang.

Depan pintu gua buka pintu rumah yang berkunci dengan jampi mulut sahaja tanpa guna sebarang alat yang dinamakan kunci. Jampi ni gua belajar dari Vizard Piremon. Seorang dukun yang mengamalkan ilmu hitam yang tinggal di hujung Kampung Pecah. Dukun ni tak berapa ngam dengan Ustaz Samizul. Faham-faham sajalah. Dukun dan imam memang kadang-kadang tak sehaluan.

Gua masuk rumah. Selangkah kaki gua memijak lantai dalam rumah, secara tiba-tiba sahaja baju gua di rentap dari dalam oleh seseorang. Gua terbaring di dalam rumah dek rentapan yang mengejut itu. Hampir saja terlucut kain sarung gua. Pintu rumah dihempas kuat sampai bergegar rumah gua. Sambil berbaring gua dapat lihat dua lelaki berpakaian gelap dan bertutup muka macam ninja. Seorang menarik gua bangun dan menolak gua ke arah dinding rumah dengan kuat. Bergeagr lagi rumah gua. Seorang menahan gua di dinding dengan cara mencekik leher gua dan seorang menahan bahu gua. Waktu ni kain sarung gua dah betul-betul mahu terlucut. Nasib baik sempat gua pegang. Mati gua kali ni.

"Jangan bising!!. Kalau tidak nahas lu gua tikam."

Ugut lelaki yang menahan bahu gua ke dinding sambil mengacukan senjatanya ke muka gua. Sebijik ketip kuku besaiz dua inci. Gua tersengih mengejek. Walau ketip kuku itu ada pisaunya, gua tetap tersengih juga.

**********************************

Keesokan pagi kedua-dua lelaki itu sedang terikat di pokok kapok depan rumah Hj.Bobby sambil dikelilingi oleh orang kampung.

"Kamu Zahiddin dan Ariez Hazaril memang tak pernah mahu berubah!! Apa mahu jadi dengan kamu berdua ni?!!"

Tengking Hj. Bobby. Gua sedang berdiri tegak sebelah Hj. Bobby dan sibuk mengetip kuku yang sudah lama terbiar panjang.