15.1.11

Kampung Pecah : Misi Menyelamat Zahidin

Pancaran terik panas matahari menyimbah separuh muka Zahidin yang sedang terbaring mengiring ke sebelah kiri di bawah pokok akasia. Walau pun panas terik mentari itu sebenarnya boleh membuatkan telur ayam kampung masak sampai terkopek kulit jika terjemur setengah jam lamanya, namun Zahidin tetap takkan bangun dari lena jika bukan kerana seekor tupai terbang yang tergelincir jatuh ke kepala Zahidin dari atas pokok akasia itu.

Dalam keadaan masih berbaring pada posisi yang sama tak bergerak, mata Zahidin memandang kabur pada tupai terbang tadi yang terus berlari terhenjut-henjut ke dalam semak lalang paras lutut bila sedar bahawa Zahidin adalah seorang manusia dan bukannya akar banir pokok akasia.

Zahidin bangun setelah pandangannya menjadi jelas dan duduk menyandar ke batang pokok akasia sambil melihat sekeliling cuba mengecam di mana dia berada. Perkara terakhir yang ada dalam kotak ingatannya adalah suara tengking Hj.Bobby dari atas pentas balairaya dan wajah Ariez Hazaril yang pucat lesi ketakutan sambil dia sendiri membaca jampi mentera ilmu ghaib seribu malaikat. Kini dia berada entah di mana duduk bersandar di batang pokok akasia dan di kelilingi oleh berpuluh mungkin beratus dan mungkin juga beribu lagi pokok akasia ada di situ.

"Mustahil ini adalah syurga."  Ujar Zahidin dari hati kecilnya dengan kurang bijaksana.

Tak semena-mena muncul satu lembaga di hadapan Zahidin.

"Kah Kah Kah!!"

Ketawa lembaga itu melihat Zahidin.

*********************

"Sudah lapan hari Zahidin itu ghaib. Entah makan kah dia, entah mandi kah dia, entah tidur berbantal kah dia."

Luah sedih makcik Miera Edora ibu Zahidin pada gua di kedai runcitnya senja kelmarin ketika gua membeli setin ikan sardin dan separuh bungkus asam jawa.

"Sabarlah makcik, orang kampung pun tengah usaha mencari dia sekarang. Tu ustaz Samizul pun tiap malam solat hajat sampai pagi tak henti-henti dalam surau minta doa supaya Zahidin dijumpai orang kampung dengan selamat."

Kata gua menyedapkan hati makcik Miera Edora selepas menurunkan cap jari ke buku hutang kedai makcik Miera kemarin.

Sambil duduk di tangga depan rumah, gua berfikir panjang mencari jawapan ke mana Zahidin menghilang selepas ghaib tiba-tiba dari balairaya seminggu lebih lepas. Orang kampung yang dikepalai ketua kampung sendiri ketika ini tak henti-henti menjalankan operasi mencari dan menyelamat budak Zahidin tu di dalam hutan Belintang belakang Kg.Pecah siang dan malam sampai lupa tempayan beras di rumah sudah kering tak berisi.

Gua pun ada turut serta operasi mencari dan menyelamat budak Zahidin tu empat hari yang lepas. Tapi cuma mencari di sekeliling kampung sampai pekan sahajalah yang gua ikut. Kalau nama mahu masuk ke dalam hutan Belintang belakang kampung tu, gua awal-awal undur diri. Bukan gua sahaja, pemuda-pemuda kampung yang ada masuk namanya dalam senarai pemuda UMNO dan persatuan belia kompang kampung pun pun turut undur diri.

Hutan Belintang tu bukan sebarangan orang boleh masuk. Kalau tak cukup ilmu di dada, tak tebal pendinding diri, tak tahu arah kiblat dan tak mahir mengenal tapak kaki rusa, janganlah mahu mencari nahas masuk ke dalam hutan Belintang itu. Kali terakhir gua jejak kaki ke dalam hutan tu, pada dua tahun lepas bersama Mikhenderson mencari pokok gaharu. Pokok gaharunya entah di mana, sebulan Mikhenderson terlantar di rumah kaki bengkak macam gajah selepas terpijak duri semalu panjang sejengkal dek melarikan diri dikejar babi hutan taring panjang empat inci yang mengejar dengan dua kaki saja sambil memegang tombak perak. Gua waktu tu pun sebenarnya lari juga tapi tak lah sampai terpijak duri pokok semalu, sebab gua pakai kasut. Mikhenderson masuk hutan cuma berkaki ayam sahaja. Bukankah kurang bijaksana namanya tu berkaki ayam masuk hutan tak pakai kasut. Ingat mahu kaya sahaja Mikhenderson waktu tu sampai lupa soal keselamatan kaki sendiri.

Asyik gua membayangkan pengalaman gua dan Mikhenderson masuk hutan Belintang tu dulu, kelibat Vizard Piremon muncul kelihatan masuk ke halaman rumah gua dengan mengayuh basikal tua membonceng Ariez Hazaril.

"Apa hajat kalian bertandang tak dijemput ke rumah gua ni?"

Sambut gua di tangga rumah ketika dukun Vizard menongkat basikalnya dan Ariez berlari ke pokok mangga yang buahnya baru mahu menjadi sebesar buku lima budak umur satu tahun tepi rumah gua untuk kencing. Kurang ajar punya perangai kencing tak bertempat.

"Zahidin ada di hutan pokok akasia belakang rumah Hajah Lina kena sorok jin."

Sahut dukun Vizard pada gua sambil matanya liar melihat sekeliling rumah gua. Gua terdiam dan tergamam kehairanan mendengar kata Vizard Piremon itu. Tidak jauh rupanya Zahidin menghilang. Tapi kena sorok jin? Apa mengarut dukun Vizard ini.

" Kalau betul bagai dikata, mengapa dukun Vizard tidak pergi sahaja ke hutan akasia belakang rumah hajah itu dan menyelamatkan Zahidin? Mengapa perlu lagi bertandang ke sini mengkhabarkan perkara itu pada gua? Bukankah Zahidin itu hilang dengan ilmu ghaib seribu malaikat yang dukun ajar sendiri padanya?"

Soal gua pada dukun Vizard dengan penuh persoalan tanda tanya dan bercorak perli sedikit.

"Saya sudah pergi tadi dengan Ariez dan sudah bertemu dengan jin yang menyorok Zahidin itu. Tapi..."

Percakapan dukun Vizard terhenti menggantung ayat sambil mata tajam penuh kerisauan melihat gua yang sedang duduk tak berbaju di tangga rumah. Keadaan menjadi sunyi dan tegang dek renungan risau dukun Vizard yang belum menyambung kata.

"Zan!!, mana engkau letak galah buat jolok buah mangga ni?"

Pekik Ariez dari bawah pokok mangga memecah ketegangan suasana. Apa punya perangailah Ariez ni mangga masih kelat di lidah begitu pun mahu dimakan.

*********************

"Adakah kamu yang bernama Sahidzan itu?"

Soal jin bertubuh sasa berwarna hijau tak bertanduk pada gua. Dukun Vizard dan Ariez berada hampir 15 kaki berdiri di belakang gua.

"Ya. Saya lah Sahidzan itu. Sekarang saya ada di sini, lepaskanlah Zahidin tunggu apa lagi?."

Jawab gua dengan nada berani seorang pendekar.

" Kah! Kah! Kah!!. Bagus. Akhirnya saya bertemu muka dengan kamu. Saya mendengar dari rakan-rakan seperjuangan saya kamu seorang yang bijaksana."

Terkebil-kebil mata gua mendengar kata jin tersebut. Tak sangka nama gua agak terkenal di kalangan jin-jin di kampung Pecah ini.

"Saya boleh membebaskan Zahidin sekiranya kamu boleh menjawab dengan betul satu soalan dari saya. KAH! KAH! KAH!!." Jin itu menyambung kata dan menyambung ketawa.

"Saya akan menjawab soalan kamu sekiranya Zahidin dilepaskan terlebih dahulu."

Gua menjawab sambil menuding jari telujuk ke arah muka jin itu dengan berani.

"KAH! KAH! KAH!!. Bijak, memang kamu seorang yang bijak. Kalau saya melepaskan Zahidin itu sekarang dan kamu tidak dapat menjawab soalan saya dengan tepat, bagaimana? KAH KAH KAH!!".

Tanya jin itu pada gua lagi sambil ketawa bongkak tak henti dari tadi. Geram sungguh gua mendegar ketawa sedemikian rupa bunyinya.

"Kalau gua tak dapat jawab soalan lu itu, biarlah gua menjadi ganti pada Zahidin. Gua akan berkhidmat untuk lu sampai mati."

Jawab gua dengan yakin dengan berdiri sedikit senget dan kepala pun sedikit senget ke kiri.

"Kah! Kah! Kah!!. Bagus. Baiklah, saya setuju dengan kamu. Kah kah kah!!"

Jin setuju sambil ketawa berdekah-dekah dan seraya dengan itu kepulan asap muncul berwarna putih dari salah satu pokok akasia berhampiran jin itu berdiri. Sedikit demi sedikit kepulan asap itu hilang di tiup angin hutan perlahan dan Zahidin muncul kelihatan tak bermaya duduk menyandar di pokok akasia. Gua memaling ke belakang melihat dukun Vizard dan Ariez. Tanpa gua berkata, mereka berdua faham dan pergi mendapatkan Zahidin yang pucat lesi badan terketar-ketar tak menjamah walau sesuap nasi lebih seminggu lamanya.

"Baiklah, apa lu punya soalan mahu bagi gua jawab?"

Gua bertanya dengan mendabik dada pada jin hijau bertubuh sasa.  Jin menyeluk poket seluarnya lalu mengeluarkan sekeping kertas berwarna putih berjalur keemasan di tepi kertas.

"Kah Kah Kah!! Kalau benar kamu ini bijak, silalah jawab soalan ini."

Jin berkata sambil menghulurkan kertas tadi pada gua. Gua mengambil kertas itu dengan cara menyentap tak berbudi bahasa. Gua merenung kertas soalan jin itu dengan dahi mula berpeluh menitik jatuh ke kertas soalan.

"Apa punya mengarut soalan jin begini."

Kata hati kecil dan suci gua mula tak tentu arah. Bukan saja tak tentu arah, tapi turut panas membara.

"Kah Kah Kah!!. Adakah kamu boleh menjawab soalan itu? Kah Kah Kah!!. Oh, kamu perlukan pen atau pensil untuk menjawab soalan itu. Terlupa pula saya mahu memberi sekali dengan pen pada kamu. Atau kamu cuma guna otak kamu sahaja menjawab? Kah Kah Kah!!. Bijak, kamu memang bijak."

Jin mengejek kebijaksanaan gua sambil menyeluk poketnya mahu mengeluarkan pen untuk gua. Gua dah bengang dan kepala panas berasap melihat soalan ini ditambah dengan ketawa mengejek jin tersebut.

"Gua tak perlukan pen atau otak untuk menjawab soalan sebegini wahai jin hijau."

Gua berkata sambil mata masih lagi melihat soalan di atas kertas putih berjalur keemasan itu.

"Kah Kah Kah!!. Bijak, memang kamu bijak. Kalau tidak pakai pen, tidak juga pakai otak, kamu pakai apa jawab soalan itu? Kah Kah Kah!! Jangan cakap pakai mulut pula. Kah Kah Kah!!"

Zaaaaapppp!!!

Tapak kaki gua tepat ke dagu jin hijau berbadan sasa itu menyebabkan dia melayang lima kaki ke udara lalu terhempas ke tanah menggelupur kesakitan lantas hilang dari pandangan mata.

"Gua jawab pakai kaki!!. Kah kah kah!!" Gua ketawa bangga.

Dukun Vizard Piremon dan Ariez Hazaril yang sedang memapah Zahidin tidak jauh di belakang gua takjub dan keluh lidah tak terkata.

*****************

"Apa soalan jin tadi sampai engkau menapak kaki ke dagu jin sedemikian rupa?"

Tegur dukun Vizard ketika kami berjalan mahu menghantar Zahidin ke rumah ibunya makcik Miera. Gua hulur kertas soalan jin itu pada dukun.

" Selesaikan pengamiran ini : [ x² kos(x)  dx  =  ?  "

"Gila punya soalan!!"  Bentak mulut dukun Vizard sambil mengoyakkan kertas soalan jin itu.