4.8.11

Kampung Pecah : Tarawih II



"Ah, kau diam ni kenapa? Ada kah tiada?"  Soal ustaz Samizul sekali lagi.

"Errrr.." Gua cuba buka mulut. Belum sempat gua buka mulut.

preengggg!!!! Ustaz Samizul pecut motor meninggalkan gua sendiri. Rasanya ustaz Samizul dah dapat tangkap apa yang ada dalam gua punya hati. Gua geleng kepala dua tiga kali sebelum mula melangkah semula menuju ke surau.

"Takkan solat tarawih pun boleh lupa. Jenis sudah terhantuk baru terngadah punya ustaz." Gua bicara sendiri.

Setibanya gua di perkarangan surau, kelihatan beberapa pemuda kampung sedang duduk bertenggek di tangga surau berborak hal keduniaan. Ariez Hazaril dan Zahiddin lah tekongnya. Di dalam surau pula, suara Hj.Bobby, ketua kampung Pecah sedang bergema-gema menipu jemaah yang lain.

"Astaghfirullah" gua beristighfar banyak kali.

Tapi satu hal yang membuat gua rasa bangga pada kampung ini, bila saja ramadhan menjelma, surau pun akan jadi meriah. Surau jadi hidup tiap malam. Dari malam mula tarawih, sampailah malam takbir, surau kampung Pecah pasti akan berisi. Mungkin pasal tarikan ada makan-makan lepas solat tarawih. Tapi itu semua tak perlulah nak dikisah. Siapa kita mahu menilai niat manusia? Yang penting, surau ini ada jemaah dan meriah tiap malam ramadhan. Itu sudah cukup baik.
 
Gua terus menapak ke batang paip tepi surau untuk mengambil air wudhu. Di tempat berwuduk ada Wak Sopian tengah berdiri hisap rokok daun.

"Pandai juga kau datang tarawih, ya?" perli Wak Sopian sama gua. Gua cuma mampu menjawab dengan senyuman yang tipis. Bukan sebab bongkak, tapi gurauan sedemikian kalau dijawab, bakal membawa kepada persengketaan dan sikap kurang ajar pada orang tua.

Gua buka kopiah dan lipat-lipat masuk dalam kocek baju melayu. Pili paip gua pusing. Air mengalir perlahan. Wak Sopian pun turut memusing pili paip di sebelah lepas menjentik puntung rokok ke perkarangan surau.

Gua naikkan lengan baju, membongkok dan mula membasuh tangan sebagai tertib mula proses berwuduk. Wak Sopian pun mula membasuh tangan. Gua berkumur-kumur tiga kali, Wak Sopian pun berkumur-kumur tiga kali. Gua masukkan air ke hidung lima kali, Wak Sopian pun masukkan air ke hidung lima kali. Gua basuh muka empat kali, Wak Sopian pun basuh muka empat kali.

Gua berhenti seketika dan berdiri tegak menadah tangan berdoa tengok langit. Wak Sopian pun buat benda yang sama. Gua toleh ke kiri tengok Wak Sopian, Wak Sopian tetap mendongak langit mulut terkumat-kamit.

Gua kerut dahi, hati rasa simpati.