7.8.11

Kampung Pecah : Tarawih III


"Wak tak tahu berwuduk, ya?" tanya gua pada Wak Sopian. Dengan nada yang serius.

Wak Sopian menjatuhkan tangan. Tunduk ke bawah. Angguk kepala.

"Astaghfirullah, Wak Sopian."  Lantas gua membongkok mengambil wuduk semula, mula dengan tertib pertama. Wak Sopian pun sekali lagi ikut sama. Kasihan wak Sopian. Ambil wuduk pun tak tahu. Entah-entah mandi junub pun dia tak tahu. Dasar lelaki tua bujang terlajak yang tiada tv di rumah, macam ni lah. Tak pernah tengok kuliah jumaat. Gua percepatkan rentak mengambil air wuduk sampai habis. Wak Sopian jadi tak tentu arah.

Selesai wuduk, gua melangkah menuju tangga surau. Menyusup di celah-celah pemuda-pemuda kampung yang masih rancak bercerita di tangga surau. Cerita perempuan, cerita bola, cerita pancing, cerita ilmu kebal, cerita dajjal, sampailah ke cerita tenggiling mereka ini bercerita. Gua malas mahu campur. Gua melangkah sopan menuju ruang dalam surau.

"Patutnya, bila di surau ini kita beriktikaf dengan berwirid. Bukan bercerita hal-hal keduniaan!!." satu suara tertangkap di telinga. Itu suara Wak Sopian di tangga surau. Amboi, pandai pula Wak Sopian bertarbiah.

Di dalam surau, sudah ada berpuluh jemaah. Ada yang duduk bersandar ke dinding dan ada yang duduk membentuk beberapa kumpulan kecil. Jemaah wanita pula berada di bahagian belakang. Dipisahkan dengan rentangan kain warna kuning. Gua berdiri tegak di tengah-tengah surau. Pandang jam usang di dinding hadapan surau. Ikut jam, sudah 30 minit lepas solat isya. Gua toleh kiri dan kanan. Mungkin semua dah berjemaah isya tadi rasanya. Sebelum ustaz Samizul pecut motor cari buku panduan tarawih tadi.

Gua tarik nafas dalam-dalam. Mahu mula solat isya. Belum sempat gua mula, Hj.Bobby lontarkan suara.

"Haa!! kamu. Ustaz Samizulnya mana? Dah lama betul dah ni." Hj.Bobby, ketua kampung duduk bawah mimbar tanya sama gua. Suara-suara mengeluh pun mula memenuhi ruang dalam surau. Gelengan-gelengan kepala mula kelihatan. Mata-mata pun mula memandang gua yang berdiri di tengah masjid. Ah, jadah apa pula seperti gua yang bersalah.

"Haihh..kamu ni. Kalau macam tu, biar saya saja jadi imam tarawih malam ni. Ustaz Samizul ada masalah agaknya." Hj.Bobby bangun dari duduk.

Jemaah dalam surau, kucar-kacir pandang satu sama lain. Muka semua jadi gelabah bila Hj.Bobby mahu jadi imam tarawih malam ini. Wak Sopian muncul di tepi gua siap geleng kepala.

Jemaah surau mula jadi risau.