9.8.11

Kampung Pecah : Tarawih IV (Last)


Maka bergeraklah Hj.Bobby duduk atas sejadah paling hadapan tepi mimbar dan jemaah di belakang memenuhkan saf dengan rasa debar.

"Ha!! siapa bilalnya?" tanya Hj.Bobby paling muka ke jemaah di belakang. Jemaah toleh muka pandang kiri dan kanan. Gua terus angkat tangan. Kerja bilal ni memang gua punya kerja dari zaman sekolah-sekolah. Tapi Hj.Bobby pula buat-buat buta tak nampak gua.

"Sabar, nice guy finish last selalunya." kata Wak Sopian siap tepuk-tepuk bahu gua. Gua pandang Wak Sopian tajam-tajam. Wak Sopian terdiam telan air liur.

"Saya bilalnya, tuan haji." Seorang pemuda baju melayu warna biru duduk saf pertama angkat tangan. Berbadan gempal namanya Ahmad Bujal. Sepupu dua kali Hajah Lina. Bekerja di kota raya. Balik bercuti ke kampung Pecah sebab bini Ahmad Bujal tengah menunggu hari. Mahu beranak cara kampung. Penuh dengan istiadat kononnya. Entah istiadat apa gua tidak tahu.

"Betul kamu boleh?" tanya Hj.Bobby kurang yakin pada Ahmad Bujal.

"Betul, haji. Saya yakin saya boleh." jawab Ahmad Bujal sungguh-sungguh mahu jadi bilal.

'Baiklah. Kamu mula sekarang." arah Hj.Bobby. Ahmad Bujal membetulkan duduk. Berdehem-dehem ejas peti suara di kerongkong.

"Subhanallah walhamdulillah walailahaillallah......." Ahmad Bujal membaca tahmid tarawih dengan suara solid macam Jalil Hamid. Jemaah lain tunduk-tunduk pasang telinga dengan asyik.

"Allhumma salli a'la muhammad." Ahmad Bujal naikkan suara.

"Sallahu wasalamu alaih." Dijawab pula jemaah surau.

"Assolatut tarawih min qiami syahri ramadhona athabakumullah" Ahmad Bujal berdiri lalu dituruti jemaah lain dengan laungan "Assolatu lailahaillallah." 

Gua berdiri di saf nombor dua. Tepi kiri gua Wak Sopian. Tepi kanan, Delarocha. Berdarah campuran Portugis dan Jawa Sumatera. Tengah tersengih tak tentu pasal sama gua. Perangai sengih sebegitu rupa memang sudah ada sejak lahir lagi dalam diri Delarocha. Pernah sekali dulu Delarocha kena tumbuk dengan Hj.Bobby bila Delarocha tersengih-sengih tengok makcik Finnie, bini nombor dua Hj.Bobby menyidai kain di halaman rumah. Gua dengar sampai jadi kes polis.

Hj.Bobby di hadapan sudah siap sedia angkat takbiratulihram.

"Allahuakbar." Padu suara Hj.Bobby. Maklumlah, bekas askar.

Makmum di belakang bersama-sama angkat takbiratulihram rakaat pertama solat tarawih. Gua fokus pandang sejadah. Penuh khusyu. Wak Sopian kesat-kesat dahi berpeluh. Delarocha di kanan tahan sengih batuk-batuk. Surau kampung Pecah ni panas, kipas rosak belum dibaiki.

Seminit surau sunyi, menanti bacaan fatihah Hj.Bobby.

Dua minit, surau masih sunyi.

Tiga minit.

Lima minit.

Sepuluh minit, masih juga sunyi. 

Gua sudah hilang fokus. Hilang khusyu. Mata gua melirik ke hadapan, ke kiri, ke kanan. Apa hal lama sangat baca iftitah Hj.Bobby ni? Jemaah lain sudah mula toleh kepala kanan dan kiri. Wak Sopian sampai toleh belakang. Delarocha makin kuat terbatuk-batuk.

Dikala seluruh jemaah yang sudah hilang fokus dan hilang khusyu, tiba-tiba Hj.Bobby terus rukuk. Makmum di belakang jadi kucar-kacir turut sama tunduk ikut rukuk. Hj.Bobby iktidal, sujud, duduk antara dua sujud, sujud dan berdiri semula untuk rakaat ke dua dengan pantas tanpa ada toma'ninah.

Rakaat ke-dua, sama juga dengan rakaat pertama. Berdiri selama 10 minit tanpa suara walau sekelumit. Rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud, sujud dan tahiyat akhir dengan pantas. Hj.Bobby paling ke kanan dan kiri bagi salam, ejas duduk mengadap makmum di belakang. Makmum pandang Hj.bobby, Hj.Bobby pandang Ahmad Bujal.

"Kau tunggu apa lagi, bacalah." tegur Hj.Bobby pada Ahmad Bujal yang tampak hilang arah lupa mahu baca apa. Ahmad Bujal jadi berpeluh.

Prreenngg...preenggg..!! Bunyi motor tiba di perkarangan surau. Makmum mula berbisik antara satu sama lain.

Tidak lama, Ustaz Samizul muncul di pintu surau. Memegang sebuah buku warna jingga. Jemaah surau, muka semua pancar cahaya, hati penuh lega.


Habis.