25.4.12

Kampung Pecah: Gaban Seorang Rocker

Gaban seorang rocker kampung Pecah. Ke mana-mana saja, tak kira ke warung, balairaya, simpang jalan, Gaban papah gitar warna jingga. Pakaiannya saja, peh! rock gila. Jika turun bandar, jeans ketat, kasut all-star dan t-shirt Megadeath warna hitam jadi kewajipan melekat di badan. Gaban, pemuda rocker Kampung Pecah.

Di satu petang, Gaban berdiri senget di simpang tiga dekat warung wantan-ho. Dia terpana dengan wajah yang bersinar-sinar menatap satu iklan yang tertempel di tiang elektrik sambil diperhatikan oleh sepasang burung merbuk memadu asmara di atas tiang elektrik itu.

'Pertandingan Tertutup Nyanyian Seorang Bintang Kampung Pecah'

"Inilah masanya!" kata Gaban dalam hati penuh semangat. Tengok pada masa yang tercatit di iklan yang ditulis di atas kertas kajang dengan marker warna hitam, Gaban ada masa tiga hari untuk mencari lagu dan berlatih. Dan mulai saat itu, Gaban sudah tak kelihatan memapah gitarnya ke warung, balairaya mahupun di simpang jalan Kampung Pecah. Dia berkurung di rumah dan berlatih bersungguh-sungguh.

Tiba hari yang dinantikan, Gaban sudah tiba di hadapan balairaya di mana pertandingan akan diadakan hari ini. Gua sebagai ajk pertandingan melihat Gaban dengan penuh gemuruh dan rasa tercabar dek identiti rocker luar-biasa yang di bawanya pada hari ini. Baju hitam Megadeath, kasut All Star, jeans koyak, itu semua benda biasa. Yang menjadi luar-biasanya, Gaban pakai kanta lekap warna merah. Melihatkan Gaban sebegitu, kesemua yang ada di balairaya menyebutkan Pehhh!! dengan panjang sebagai tanda kekaguman yang amat. Inilah kali pertama dalam sejarah kampung Pecah, seseorang kelihatan memakai kanta lekap warna merah.

Cabutan undian nombor peserta pun dimulakan apabila Hj.Bobby tiba diiringi kedua-dua bininya.Dan Gaban menjadi peserta yang pertama.

Gua yang bertindak sebagai juruacara majlis merangkap ajk hadiah pertandingan memulakan majlis dengan menjemput ustaz Samizul naik ke pentas membacakan doa agar pertandingan nyanyian ini dirahmati tuhan dan terhindar dari bala bencana. Walau pun sebenarnya gua berasa tidak sedap hati dengan bacaan doa sedemikian di dalam majlis yang berunsur kemaksiatan sebegini. Namun, atas kehendak ustaz Samizul, gua turutkan saja. Siapalah gua untuk membantah. Usai bacaan doa, gua memperkenalkan pihak juri jemputan yang akan mengadili pertandingan nyanyian tertutup kampung Pecah ini. Terdiri daripada komposer dan penyanyi yang bukan calang-calang orangnya, M.Nasir, Ahmad Dhani dan Aubrey Suwito. Ketiga-tiga mereka mendapat tepukan gemuruh dari hadirin yang ada di balairaya.

Diiringi hentakan dram dan gitar dari kugiran Kampung Pecah, masa yang ditunggu-tunggu telahpun tiba. Dengan suara yang lantang gua bersuara, "Dengan ini tanpa membuang masa lagi, kita mempersilakan peserta pertama pertandingan Nyanyian Bintang Kampung Pecah 2012, Gaban Morkaaaa!!!" Tepukan gemuruh sekali lagi menggegarkan balairaya Kampung Pecah sambil Gaban melangkah dengan penuh steadi ke atas pentas. Gaban membisikkan sesuatu kepada ahli-ahli kugiran Kampung Pecah. Bisikan yang telah membuatkan ahli-ahli kugiran memandang antara satu sama lain dengan pandangan yang misteri pada firasat gua. Apakah kejutan yang akan dipersembahkan oleh rocker kampung Pecah ini?

"Percobaan..1..2..Percobaan.." Gaban ejas suara pegang mikrofon. "Pehhh!!" sahut hadirin yang berada di bawah pentas serentak melihat Gaban yang berada dalam posisi duduk di atas kerusi di atas pentas. Muzik pun mula dimainkan.

Triing Ting Ting Ting...Tirrng Ting Ting Ting...

Jika engkau minta intan permata tak mungkin ku mampu...
Tapi sayang kan ku capai bintang dari langit untuk mu....

Pehh!!! tempik hadirin dari bawah pentas mula memberontak keluar dari balairaya membuat demonstrasi jalanan.