21.4.15

Ka(e)rek-Ter

Lapisan demi lapisan. Meneroka tiap selokan  taman labirin berdinding batu batan. Aku dapat mendengar suara di balik dinding dinding itu. Ada cerita yang harus aku rungkaikan. Ada kisah yang harus aku jelaskan. Kerana dari tiap lapisan kisah-kisah itu sajalah pintu keluar dapat aku temui. Walau sebanyak mana pun jalan mati, jalan buntu yang terpaksa dihadapi, karekter harus tetap bernafas tidak berputus asa lalu lenyap begitu saja.

13.4.15

Nihilis

Dialog ini dimulakan dengan pertanyaan:

"Kenapa tak kahwin lagi?"

"Sebab saya membosankan. Saya tak dapat membayangkan pasangan hidup saya berhadapan dengan kebosanan sepanjang masa. Ia akan membunuhnya."

"Awak tak berasa sunyi?"

"Sunyi? Ya. Saya sentiasa berasa sunyi. Kesunyian itu telah menjadi sebahagian daripada diri saya."

"Awak tak rasa takut hidup bersendiri selama-lamanya?"

"Kita semua bersendirian dalam dunia ini."

"Maksud?"

"Tiada sesiapa untuk kita. Dan kita bukanlah untuk sesiapa."

"Saya masih tak faham."

"Bukan semua perkara dalam hidup kita ini dapat difahami dan perlu difahami."

Dialog ini tamat. Dengan persoalan tentang sebuah kekosongan. Kekosongan tanpa jawapan.

3.4.15

Pertemuan

Sebelum bertemu denganmu, aku telah merancang banyak hal untuk dibincangkan. Hal-hal serius tentang buku-buku yang kita suka, tentang buku-buku yang kita benci, tentang impian kita untuk menakluki angan-angan, tentang bunga-bunga yang telah kepupusan. Namun segalanya lenyap bila aku merenung matamu di kafe itu. Yang terucapkan di lidahku, hanya madah-madah rindu dan mimpi-mimpi indah bersamu yang memeluk tidurku selalu.