10.10.17

Perginya Kassim Ahmad

Seringkali saya menggunakan nama 'Kassem' di dalam anekdot atau pun cerita-cerita ringkas saya (di laman facebook terutamanya). Jujurnya, nama 'Kassem' itu bermula setelah saya mengikuti perkembangan Kassim Ahmad. Walaupun begitu, watak 'Kassem' saya itu nyata sekali jauh berbeda dengan Kassim Ahmad yang sebenar. Ibarat sebuah pantulan antara dua dimensi yang berbeda.

Jadi, siapakah Kassim Ahmad ini?

Secara ringkasnya, saya mengenali Kassim Ahmad melalui catatan-catatan atau esei-esei beliau. Seorang ahli fikir Melayu Islam. Seorang penulis. Seorang politikus. Seorang penentang. Dan yang paling penting bagi saya, beliau adalah seorang pejuang. Walau ditangkap, dikeji dan dicop sebagai orang yang salah, turun naik mahkamah, beliau tidak akan sesekali menyerah dan teguh dengan pendiriannya.

Seorang ahli fikir yang mengutarakan pendapat/fakta yang tidak popular pasti akan ditabrak dengan tohmahan yang bukan-bukan oleh orang-orang yang tidak mahu berfikir atau orang-orang yang berkepentingan. Dan orang yang tidak mahu atau sengaja tidak mahu berfikir ini - yang terus-terus mengatakan bahawa Kassim Ahmad sudah terpesong akidahnya kerana menolak hadith - lebih rela menjerumuskan masyarakat kita ke lubang Jumud, terpintal dengan tali Pak Turut, dan lebih teruk, membenam masyarakat ke dalam lumpur kebodohan.

Pada saya, tiada salahnya Kassim Ahmad mencabar kewibawaan hadith. Kerana cabaran sedemikian, yang sudah tentu disokong oleh ilmu dan pemerhatiannya, akan mengajak masyarakat kita untuk lebih menekuni ilmu, membuka ruang soal jawab, dan mewujudkan masyarakat yang berfikir. Jika Kassim Ahmad salah, kita lawan dengan hujah dan ilmu. Bukan lawan dengan tohmahan atau tangkapan. Agree to disagree.

Hari ini, 10 Oktober 2017, Kassim Ahmad menghembuskan nafasnya yang terakhir. Kita kehilangan seorang ahli fikir yang rebel. Beliau pergi dengan meninggalkan kepada kita sebuah idea dan prinsip penentangan teguh yang tercatit di dalam buku-bukunya. Al-Fatihah.


Petikan sajak Sidang Ruh oleh Kassim Ahmad.

i.
perlu sesuatu di perhitungkan kembali
hari ini kita dewasa
tanpa tuhan tanpa impian
karena besok mungkin terlalu lewat
bagi kiamat yang telah ditangguhkan
bukan aku sinis
kau jangan mengatheis
beritaku dari mereka yang lupa bagaimana untuk hidup
maka demikian perlu kata kata
supaya maut kita bukan karena bisu...

.