11.12.10

Kampung Pecah

Sepasang burung merbuk berkicau-kicauan sambil bermadu cinta di kabel elektrik. Tidak sayang nyawa pasangan burung itu barangkali. Madu asmara pasangan itu terhenti seketika apabila melihat gelagat gua sedang berjalan terjengket-jengket kaki di tepi jalan raya yang tidak bertar tapi berlopak sambil memegang buku bertajuk "Pecah Kata" yang baru gua beli di pekan tadi. Kegemaran membeli buku di pekan sudah menjadi tabiat kepada gua sejak gua tiada kerja.

"Ah, penat juga berjalan kaki balik rumah." Gua berkata-kata sendiri dalam hati. Kasihan. Bukan gua tiada duit mau naik bas dari pekan. Tapi sikap bas yang mengamalkan sikap pilih kasih memilih penumpang membuatkan gua terpaksa berjalan kaki sahaja. Mentang-mentang gua pakai baju MU.

Ketika gua melintasi pasangan burung merbuk yang  tiba-tiba duduk berjauhan antara satu sama lain dek takut kedapatan aktiviti kurang bermoral mereka, sebuah kereta Proton Saga tahun 80-an muncul dari belakang. Kereta itu bergerak perlahan-lahan dan berhenti di tepi gua. Gua pun mematikan langkah kaki.

Cermin tingkap kereta Proton Saga itu diturunkan oleh pemandu, tapi cuma separuh. Maklumlah kereta lama. 

"Eh, Zan. Marilah naik." Dr.Hanis mempelawa gua yang sedang tertunduk-tunduk di luar kereta.

Dr. Hanis adalah merupakan seorang doktor haiwan wanita yang telah bersara. Terpaksa bersara sebenarnya, selepas semua kambing jabatan haiwan yang dirawatnya dulu menjadi mandul. Sekarang Dr.Hanis menyara kehidupan dengan membuka bengkel kereta di pekan sana.


"Err. Ok" Sahut gua tanpa malu dan sedikit kurang yakin.

Kalau berjalan kaki agaknya jauh lagi. Jadi gua pun naik kereta Proton Saga Dr.Hanis. Jimat juga peluh gua sedikit.

"Kenapa lu berjalan kaki? Tiada duit ke beli kereta?" Tegur Dr.Hanis dengan bongkak pada gua di dalam kereta.

"Iye. Baru habis belajar. Belum kerja lagi." Tipu gua merendah diri pada Dr.Hanis. Ikut hati mau saja gua terajang. Tapi gua bersabar. Tak manis menerajang seorang wanita.

Powwww!!

Satu letupan kecil kedengaran dari arah depan. Asap berkepul-kepul keluar dari bonet enjin kereta Proton Saga Dr.Hanis. Gua menjadi gelabah. Mahu saja gua melompat keluar dari tingkap. Tapi tingkap kereta cuma boleh buka separuh. Tak muat rasanya badan gua.

Karburetor enjin Proton Saga Dr.Hanis pecah. Bonet enjin berasap. Dr.Hanis cuba mengawal keretanya perlahan-lahan dan berhenti di bahu jalan. Gua tanpa fikir apa-apa lagi terus keluar sambil memegang buku yang gua beli tadi. Dr. Hanis menarik brek tangan dan menarik picu pembuka bonet enjin lalu keluar dari kereta.

Dr.Hanis membuka bonet enjin dengan berani. Asap putih berkepul-kepul tak henti-henti. Dr. Hanis cuma mampu menggeleng kepala tak tahu mau buat apa. Gua cuma memerhati dari tepi.

"Boleh ke doc?" Gua bertanya pada Dr.Hanis yang sedang menggaru-garu kepala yang tak gatal.

"Boleh, kejap saja ni." Dr. Hanis menjawab dengan bongkak. Ilmu mekanik Dr.Hanis sebenarnya belum sampai lagi pada tahap membaiki karburetor enjin yang pecah. Entah-entah karburetor pun Dr.Hanis tidak kenal mana satu.

Kira-kira 138 meter di hadapan kami, ada sebuah warung menjual mee wantan. Warung yang dimiliki oleh Wan Tan Ho. Perut gua dari kemarin cuma berisi sekeping roti kosong dan air kosong sahaja. Rasanya adalah lebih baik gua makan dulu daripada menolong Dr.Hanis membaiki kereta Protonnya ini.

"Doc, gua makan mee wantan dulu depan sana. Lapar ni." Gua berkata sambil berjalan meninggalkan Dr.Hanis terpinga-pinga mengadap Proton Saganya. Gua mau tolong, gua tak tahu. Lagi pun bukan kereta gua.

Sampai saja dalam warung, gua terus duduk di kerusi yang tiada tempat menyandarnya dengan sopan.
Di meja sebelah ada dua bunga sedang rancak berborak. Tengok gaya seperti sudah empat jam duduk tak balik-balik rumah dua bunga itu. Cik Shalley tak henti-henti cerita pasal Chelsea dan pasukan futsalnya yang berstatus separa amatur, sapara kampung-kampung pada Cik Nieja.

Dua bulan lepas pasukan futsal Cik Shalley kalah perlawanan akhir kejohanan futsal anjuran cawangan UMNO kampung sebelah. Itu pun kalah penalti. Mungkin itu yang tak henti-henti dibualnya pada cik Nieja. Cik Nieja cuma mendengar dengan penuh perhatian cerita Cik Shalley. Cik Nieza ni memang seorang yang pendiam. Dia cuma berkata-kata dan bersuara melalui sang jemarinya sahaja. Gila bukan.Orang kampung ada juga yang mengata yang Cik Nieja ni ada ilmu penanggal.
Tapi itu cuma kata-kata orang kampung dan khabar angin sahaja. Betulnya gua tak tau. Tak pernah juga gua jumpa Cik Nieja terbang sana-sini di malam hari selama gua tinggal di Kampung Pecah ini.

Kiranya gua mau tegur mereka berdua, tapi gua goyang. Baru minggu lepas Cik Shalley berlari main kejar-kejar pegang parang dengan ketua kampung Wasaber di sebelah sana. Pasal kerbau kampung sebelah yang menjahanamkan tanaman sayur paku pakis Cik Shalley gua dengar.

"Mau makan sini atau take away?" Wan Tan Ho entah dari mana muncul depan gua. Berbaju singlet koyak di perut dan buat muka bikin panas sama gua.

"Makan sini. Bagi gua mee wantan spicy regular size dan air cola satu." Gua memesan makanan sambil Wan Tan Ho jeling-jeling meja Cik Shalley dan Cik Nieza. Macam mau menghalau, tapi tak berani.

"Ubi goreng panas-panas tidak mau tambah?" Wan Tan Ho buat promosi menu terbaru warungnya. Tapi tidak tengok gua. Tangan gua macam semakin ringan.

"Tak lah. Itu saja." Gua menolak promosi ubi goreng Wan Tan Ho, dan dia beredar terus masuk dapur. Nasib dia baik. Kalau dia bercakap lagi, gua tak tahu apa akan jadi.

"Dockers, Levis, Nike, Gucci. Bundle ori mari beli!!"

"Dockers, Levis, Nike, Gucci. Bundle ori mari beli!!"

Suara seorang perempuan bergema-gema melalui heila dari pondok jual bundle sebelah warung mee wantan ini. Sudah dua tahun Wan Tan Ho berjiran dengan pondok bundle di sebelah dan tiap hari mendengar ayat yang sama dari pagi sampai malam. Kebal sungguh telinga Wan Tan Ho.

Gua tengok papan tanda pondok bundle itu yang diperbuat dari kayu jati bermutu tinggi. "Bundle Si Lina Ramsah". Siapa yang tidak kenal Si Lina Ramsah. Satu-satunya usahawan wanita yang berjaya di Kampung Pecah ini. Di kala wanita-wanita lain sibuk bergosip dan mengumpat sesama jiran, Si Lina Ramsah menggagahi diri memekik dari pagi sampai malam di pondoknya. Projek Bundle Si Lina Ramsah yang dimulakan dua tahun lepas kini sudah maju. Siap buka francise lagi di negara jiran. Pendapatan bulanan pun gua saspek cecah lima angka. Tapi biasalah, adat hidup sekampung. Ada saja yang cemburu. Cakap Si Lina Ramsah ada bela jin dan toyol. Adat orang kita memang begitu. Mengata dan cemburu saja lebih, kerja tidak mahu.

Di dalam pondok bundle kelihatan seorang awek sedang memilih-milih kasut dari timbunan kasut. Pakai satu, buka. Cari lagi yang lain. Pakai, buka, cari lagi. Tak henti-henti.

"Lu ni mau beli ka tidak? Sudah dua tahun datang sini kedai, cuba saja, tapi tidak beli."

Si Lina Ramsah bersuara melalui corong heila pada Thebeybeh. Satu kampung boleh dengar. Tapi orang kampung tidak kisah sebab satu kampung sudah tahu Thebeybeh ini memang suka sama kasut. Pasal orang kampung tidak kisah, Thebeybeh pun tidak ambil kisah pada Si Lina Ramsah dan tangannya mencapai kasut bola jenama Figos dari timbunan kasut bundle. Gua cuma tersengih sendiri melihat dari sebelah.

"Dockers, Levis, Nike, Gucci. Bundle ori mari beli!!"

Si Lina Ramsah kembali menjalankan tugasnya, memekik.

Awan sudah mula berarak mendung dari arah timur laut. Mee wantan gua pun sudah sampai di depan mata dengan berasap-asap. Gua suap ke mulut dengan berhati-hati dan sopan. Gua perasan Cik Nieza dan Cik Shalley  sedang menjeling dan memerhati gua dari tadi. Kalau ikut nafsu, mee wantan ini sekali telan saja gua suap.

Sedang gua mahsyuk menyuap mee wantan, gua didatangi oleh seorang amoi yang membawa pelbagai jenis dan saiz pemotong kuku.

'Incik, mau buat kuku? Warna kuku? Murah-murah." Amoi itu mengganggu masa makan gua. Apakah jadah buat kuku masa gua menyuap.

Gua menolak pelawaan amoi itu dengan menggeleng kepala dan mee bergayut-gayut di mulut gua tak putus-putus gua gigit. Celaka. Mee ini keras macam dawai. Tak cukup masak atau Wan Tan Ho sengaja bagi gua mee yang keras.

"Incik kalau ada masa bawa amoi Incik datang kita punya kedai buat kuku. Ada promotion price."

Amoi itu berkata sambil meninggalkan sekeping kertas iklan kedainya di meja gua dan dia beralih ke meja sebelah.

"Nekochan World". Gua baca pakai mata. Bagus juga kerja amoi ini. Gua macam mula tertarik. Minggu depan kalau tiada halangan, gua singgah kedai amoi ini. Gua ingat mau buat kuku supaya tak pandai panjang-panjang lagi. Kerja potong kuku ini sebenarnya memenatkan dan menyusahkan kepada orang yang sibuk menulis blog macam gua.

Gua toleh meja sebelah, Cik Nieza dan Cik Shalley sedang sibuk mewarna kuku masing-masing menggunakan produk dan teknik mewarna yang di ajar oleh amoi dari kedai Nekochan World. Ah, pantang tengok barang baru kedua-dua gadis itu.

Brrooomm...brooommm!!

Kereta proton saga Dr.Hanis mucul di depan warung. Biar betul Dr.Hanis ni boleh baiki karburetor pecah tak sampai sejam. Ada ilmu besi barangkali. Gua seperti takjub.

"Lu mau ikut balik ka tidak?!!" Dr. Hanis menjerit pada gua dari dalam kereta.

"Mau, mau, mau!!" Gua balas jerit pada Dr.Hanis.

Memandangkan awan hitam di atas cuma menunggu masa saja mahu jatuh, adalah baik gua ikut naik kereta Dr. Hanis. Tak juga gua basah kuyup kesejukan kalau hujan. Waktu gua di kaunter bayaran warung Wan Tan Ho, seorang gadis baru datang ke warung dengan menunggang motor ex-5. Gua cukup hairan, ramai juga pelanggan mee wantan warung ini. Pelanggan pun ramainya perempuan.

"Lu bagi lagi gua semangkuk mee wantan." Arah gua dengan suara serius pada Wan Tan Ho di kaunter bayaran.

Gua bagi signal "lu boleh blah" guna lambaian tangan pada Dr.Hanis dan gua duduk semeja dengan Cekz Hikmah yang kepalanya masih berhelmet lupa mau buka. Waktu gua cuba mula mengatur kata, soal kehidupan atau Life pada Cekz Hikmah, Dr. Hanis menggerakkan kereta Proton Saganya perlahan-lahan dengan memasang lagu 'Aku Semut Merah'. Dan sampai depan pondok bundle, tayar keretanya pula pecah.


****************************
Cerita ini cuma rekaan semata.