22.10.15

Mortar


"Kau kabur dengan kenyataan
yang selalu mahu memeluk-mu
saat kau bermain dengan khayalan
lalu kau menolakku tanpa jemu-jemu?"

- Mortar Mokhtar (2016) 

23.7.15

Syawal

Syawal yang ke-berapa puloh kali kau lalui ini tetap saja diraikan dengan keberanian melambung angan-angan setinggi mungkin; raya tahun depan aku akan begini aku akan begitu. Dan semestinya seperti masa masa yang lalu, anganmu tetap saja lebur dimamah waktu. Oh tuhan.


16.7.15

The last sahur

Mungkin ini hari terakhir saya bersahur bersama kalian, katanya, tidak akan ada lagi hari esok, atau mana-mana masa di hadapan yang dapat kita kongsikan bersama. 

Cawan-cawan berlaga. Demi kehidupan, demi kehidupan yang penuh dengan cerita, ucap mereka semua.

Sewaktu fajar menyinsing, dia berjalan menuju keabadian. Meninggalkan pengikut-pengikutnya yang terlentok di meja makan mati keracunan.

11.7.15

Solitude

"..for some people... solitude and isolation, can, or itself become a problem."

".. Not for me." (The Shining)

Untuk rekod, paling lama aku tak bercakap/berkomunikasi dengan orang adalah selama dua hari berturut-turut. Kalau masuk hari ketiga mungkin aku dah boleh dengar semut semut yang sedang bersembang. Hmm.

21.4.15

Ka(e)rek-Ter

Lapisan demi lapisan. Meneroka tiap selokan  taman labirin berdinding batu batan. Aku dapat mendengar suara di balik dinding dinding itu. Ada cerita yang harus aku rungkaikan. Ada kisah yang harus aku jelaskan. Kerana dari tiap lapisan kisah-kisah itu sajalah pintu keluar dapat aku temui. Walau sebanyak mana pun jalan mati, jalan buntu yang terpaksa dihadapi, karekter harus tetap bernafas tidak berputus asa lalu lenyap begitu saja.

13.4.15

Nihilis

Dialog ini dimulakan dengan pertanyaan:

"Kenapa tak kahwin lagi?"

"Sebab saya membosankan. Saya tak dapat membayangkan pasangan hidup saya berhadapan dengan kebosanan sepanjang masa. Ia akan membunuhnya."

"Awak tak berasa sunyi?"

"Sunyi? Ya. Saya sentiasa berasa sunyi. Kesunyian itu telah menjadi sebahagian daripada diri saya."

"Awak tak rasa takut hidup bersendiri selama-lamanya?"

"Kita semua bersendirian dalam dunia ini."

"Maksud?"

"Tiada sesiapa untuk kita. Dan kita bukanlah untuk sesiapa."

"Saya masih tak faham."

"Bukan semua perkara dalam hidup kita ini dapat difahami dan perlu difahami."

Dialog ini tamat. Dengan persoalan tentang sebuah kekosongan. Kekosongan tanpa jawapan.

3.4.15

Pertemuan

Sebelum bertemu denganmu, aku telah merancang banyak hal untuk dibincangkan. Hal-hal serius tentang buku-buku yang kita suka, tentang buku-buku yang kita benci, tentang impian kita untuk menakluki angan-angan, tentang bunga-bunga yang telah kepupusan. Namun segalanya lenyap bila aku merenung matamu di kafe itu. Yang terucapkan di lidahku, hanya madah-madah rindu dan mimpi-mimpi indah bersamu yang memeluk tidurku selalu.

28.3.15

Pada suatu hari

Pada suatu hari, di sebuah gurun dunia abadi, aku sedang mengayuh basikal sambil memikirkan makna penyesalan. Namun kayuhanku terhenti apabila terlihat sebuah gelanggang tinju di tengah gurun itu. Di atas gelanggang, kelihatan seorang lelaki Jepun. Aku kenal lelaki ini. Namanya Murakami. Dia sedang bersedia menyarung glove di tangannya. Seorang lelaki pula masuk ke gelanggang. Meloncat-loncat. Mengacah-acah. Siapa dia? Tanyaku. Itu Raymond Carver, sahut sesorang yang secara tiba-tiba muncul duduk di sisiku. Aku toleh kiri kanan. Gurun dah bertukar jadi sebuah tempat seumpama stadium. Dipenuhi penonton yang bersorakan dan menumbuk-numbuk udara. Ini pasti menarik, kata lelaki itu lagi. Kau rasa, siapa menang? Aku tanya dia. Dia angkat bahu. Aku pilih Murakami, sambungku lagi. Dia toleh ke arahku lalu tersengih. Kalau dia menang, kata lelaki itu, aku pula yang akan lawan dia. Aku angkat kening. Kau? Kau nak lawan dia?
Ya. Aku akan lawan dia. Dan kau patut bet untuk aku nanti. Kau takkan menyesal. Aku juara 1984.

Ting! Round one!



Pol-1

Yang layak (banyak) bercakap itu politikus. Kita hanya perlu diam, berfikir dan mati.

27.3.15

Perempuan Simpanan

"- ada yang menulis untuk kenangan. Ada yang menulis untuk masa depan." Ini isi hati. Isi hati si perempuan simpanan. Dia juga lebih suka memilih revolver berbanding lipstik revlon. Dia kata, dua benda itu hampir sama, saat muncung revolver itu dioleskannya ke bibirku.


25.3.15

Heavy




Aku baca ni dekat Insta lejen. Sepuloh Nama, 'heavy', twisted di mana-mana -aku kena buka buku tu balik. Mungkin juga lepas ni aku kena cari idea yang lebih ringan (kot). Tapi aku dah terlajak hantar yang 'heavy' juga. Acane ni? Acane? -berapa kali 'juga' dalam perenggan ni?

Aku sukakan sesuatu yang susah untuk aku tulis yang membuatkan aku terpaksa telan separuh botol paracetamol. Begitu jugalah dengan benda-benda yang aku baca dan tonton. Ia membuatkan otak aku lebih bekerja. Tapi yeah, mungkin ini adalah sebahagian fiksyen syok sendiri yang wujud di masa-kini.


Ucapan yang tak seberapa

Happy birthday to you. Dengan ucapan, actually I tak tahu pun hari ni dah 25-Mac. Ingatkan esok 25 - atau lusa.

I ada masalah sikit -mungkin banyak- dengan haribulan, harijadi dan nombor-nombor penting.

Semoga sihat dan hubungan berpanjangan.

Btw - usia you dah berapa sekarang ni? I dah mula pening.

24.3.15

Cat-Man

Ayahnya menghadiahkan kucing jantan itu kepadanya empat tahun yang lalu. Berwarna putih, tompok coklat, berekor cangkuk. Selama sebulan dia cuba memikirkan nama yang sesuai buat kucing itu. Sahabatnya, yang tinggal selang dua blok dari kediamannya mengatakan, kucing itu patut dinamakan Selamat. Alasannya, dia juga ada membela seekor kucing dan kucing itu bernama Kasim. Langsung tidak masuk akal, pada fikirannya. Sepupunya pula, yang tinggal di Hokaido mencadangkan padanya satu nama yang pelik dan menghampiri garis kelucahan, Yuki. Kata sepupunya, Yuki bermakna salji. Salji pula berwarna putih. Dia menjelaskan keadaan sebenar kucingnya itu pada sepupunya; kucing ni memang warna putih tapi ia juga bertompok coklat. Sepupunya menghela nafas panjang di talian telefon. Itu tanda sepupunya itu kehabisan idea dan tak dapat lagi berfikir satu nama yang bagus melainkan Yuki. Dia kecewa dan meletakkan gagang telefon.

Namun, masalah nama kucingnya itu selesai pada suatu petang tidak lama dari itu. Sewaktu dia duduk di depan tv dan kucing itu tidur di pangkuannya. Di kaca tv, tersiar sebuah telenovela Mexico kegemaran ibunya. Tak semena-mena dia mendapat satu nama yang bagus pada fikirannya. Dia tersenyum dan mengangkat kucing yang sedang tidur itu. "Radulfo! Nama kau Radulfo!!" Dalam keadaan mamai, kucing itu mengangguk dan menguap panjang.

---bersambung kot.


Berani gagal

Jangan takut melakukan suatu yang baru. Jangan takut memulakannya dari bawah. Jangan takut dengan kegagalan. Belajar. Belajar. Dan belajar lagi. 

"Kita ini laki-laki. Haruslah berani. Harus yakin dengan hidup." Kata-kata sebegitu diluah saat penanya dilepaskan, bergolek atas meja. "Jadi lebih dewasa!" Sambungnya lagi sebelum membuka pintu meminta aku keluar dari bilik itu.

Di luar, aku mula melawan kegagalan. Dan belajar menjadi lebih dewasa. Walau hanya dengan sebatang pena.

6.3.15

Perfectionista

Kehidupan ni tak memerlukan kesimpulan yang perfect pun. Sama jugalah dengan sebuah cerita yang kau karang. Begitu ucapnya ke telingaku saat aku buntu mencari kesempurnaan untuk sebuah penamat. Aku berkira-kira meletakkan Paradoks di baris paling atas dengan font bookman old style saiz 28. Dan dia mengacukan satu pertanyaan di muncung Colt Anacondanya, are you sure?
Belum sempat aku jawab, kotak susu yang sedia terbuka di hujung meja jatuh, susu tumpah ke lantai. Putih jadi merah. Jadi kolam darah membasahi tubuh seorang lelaki yang terbaring. Senyap seketika sebelum dia bertanya padaku, kita sampai mana tadi?

18.1.15

Is she?

Kau tak dapat lelapkan mata. Dalam fikiran mu berlegar satu-dua-tiga persoalan yang hanya dapat dijawab oleh masa, seperti; is she the one for you? Tiada jawapan. Lalu kau membalikkan badanmu menghadap dinding kamar, menatap lukisan lukisan pudar yang hampir kau lupakan. Tentang kenangan dan harapan. 

Kau menanti, untuk matahari terbit lagi.

9.1.15

Fiq Neruda

"I love you without knowing how, or when, or from where.
I love you simply, without problems or pride; I love you in this way because I do not know any other way of loving but this,
in which there is no I or you, 
so intimate that your hand upon my chest is my hand, 
so intimate that when I fall asleep your eyes close." - Neruda.

Barangkali, ini satu-satunya sajak yang saya bacakan pada seseorang dengan bersungguh-sungguh. Dan saya tidak pernah sesekali melupakan momen itu. Di satu malam, tanpa sinar rembulan, saya terlena duduk menyandar di hujung katil. Dia, di hujung sana, di seberang lautan, pada masa yang lewat satu jam. Jarak yang jauh terasa dekat, bila rindu kian memekat.


Pada saya yang mengigau

Pada saya, cinta itu patutnya membebaskan, bukan menyekat atau menahan-nahan (define menahan-nahan). Bila mula menyekat atau disekat atau tersekat, kau patut berhenti dari cinta dan pergi ke hemisfera paling utara membunuh penguin-penguin yang sedang membuat perancangan jahat untuk menakluk ketamadunan bani adam di tahun-tahun yang mendatang.

Pada saya, tiada puisi yang benar-benar jujur selain puisi yang di tulis pada pukul tiga pagi dalam keadaan separuh sedar akibat kesan kafein yang beraduk dengan kantuk, yang ditunggu-tunggu oleh mimpi-mimpi yang sepi. Barangkali, pada tika itu, akal-nurani kita tidak mudah ditelanjangi dengan kata-kata puitis palsu yang hadir dari emosi (kah?)

Pada saya, kegampangan dunia ini bermula dari secawan kopi yang sejuk dan asbak yang sentiasa kosong. Kita tidak tahu menikmati, imaginasi kita bernyawa, tapi perasaan tetap-tetap juga mati.


1.1.15

Selamat Tahun Baru

Satu hari bulan satu, hari ini kau memulakan perjalanan yang baru untuk mencipta kenangan yang lebih padu -hidup ini adalah sebuah kilang kenangan yang akan kau dan orang lain gunakan untuk hari-hari mendatang. Itu pun kalau sampai ke penghujung. Boleh jadi, kau sangkut di separuh jalan. Boleh jadi, kau terjebak dengan asshole serupa tahun tahun yang sudah.

Kau tak perlu letak banyak harapan untuk hari-hari depan, cukup satu; jadi manusia yang baik-baik saja. Bila kau dapat penuhi yang ini, yakinlah, dunia ini akan jadi lebih tenang.

Selamat tahun baru, katanya.