27.12.12

Disember Dua Puloh Tujoh

Laut yang berolak tenang tiba-tiba saja jadi tak keruan. Gelombang-gelombang gergasi jelas kelihatan. Sekumpulan ikan paus putih melompat dari dalam laut terpekik-pekik macam ikan gila. Ketam-ketam jadi gelabah. Udang-udang terpinga-pinga. Obor-obor berbisa berbunuhan antara satu sama lain. Sotong kurita melepaskan cairan hitam memecut melarikan diri ke mana-mana. Jerung-jerung kehilangan gigi. Semua makhluk di lautan mendadak huru-hara.

Dum!

Letupan kedengaran serentak dengan percikan cahaya hijau di ufuk timur lautan pasifik. Menjadikan keadaan laut yang huru-hara tadi jadi senyap dan tenang semula. Tapi selang tujuh saat, kelihatan gelembung-gelembung air muncul di permukaan laut. Dan kemudian muncul pusaran air yang pada mulanya kecil menjadi besar, besar dan besar. Sehingga jika dipandang dari atas, seperti lautan yang luas itu telah berlubang.

Dari pusaran air di tengah lautan pasifik itu, muncul perlahan-lahan sebuah kapal layar besar yang badan kapalnya diperbuat seratus peratus dari kayu jati asli, layarnya di\jahit dari kain sutera negara China. Itulah kapal hantu yang menjadi sebutan pelaut-pelaut antarabangsa selama ini, The Flying Dutchman. Hanya muncul di lautan sekali setahun tika matahari dua puloh tujoh disember terbit di ufuk timur.

Di atas dek kapal, kapten William Turner sedang berdiri tegak menatap sesuatu di tangannya. Mengangkat-angkatnya ke atas, ke bawah, ke kiri, ke kanan. Dahinya berkerut-kerut.

"Kapitan! Kapitan!" sa-orang kelasi menjerit-jerit di hujung kapal. "Sini...sini...ada line," pekik kelasi itu pada kapten William yang mula melangkah ke hujung kapal menggeleng-geleng kepalanya.

"Apa punya taliponlah payah dapat line ni?" keluh kapten William di hujung kapal sambil mula mendail nombor seseorang.

trruuttt... truuuutt.. trruuutt...

"Hello..hello..PK..dengar? Hello..." kata kapten sejurus panggilannya di jawab.
"Ya..ya.. hello dengar. Siapa ni?"
"Ha! Gua ni. William Turner dari Flying Dutchman."
"William Turner? Peh! Apahal? Lama kau tak talipon."
"Kakaka. Sori, alam barzakh tarak line."
"Hahaha. Jilaka!"
"Ni gua talipon ni nak bagitau, ini hari 27 haribulan disember. Lu punya birthday kan? Ha! Selamat hari jadi lah, bero!"
"Woha! Thank you..thank you!"
"Jadi, lu dah sedia ke alam barzakh kah, bero? Gua mau datang ambil lu ni."

Tuttt...tuttt...tuttt... Panggilan dimatikan. Kapten William mencarut.

14.12.12

Main Gila

"Di sebalik senyuman manusia-manusia yang kelihatan normal itu, terselit kegilaan yang ingin bebas dari segalanya yang menjerut kehidupan yang tidak akan pernah berhenti mengulangi sejarah yang tidak dimakan waktu sehinggalah menemui maut. Boleh jadi kau mati dengan kepala yang terpisah dari tubuh, atau boleh jadi kau mati melihat jantung kau direntap keluar mahupun mulut pistol bercium dengan mulut kau. Main Gila, sebuah buku yang menceritakan kegilaan yang menari-nari di atas garisan normaliti."

Untuk menutup tahun ini, lu orang bolehlah kiranya ber- Main Gila dengan antologi cerpen yang bagi gua adalah buku yang paling gila setakat ni. Boleh klik link di bawah untuk beli. Piu! Piu! Piu!

http://shop.lejenpress.com/shop/main-gila/



12.11.12

Buku Jalanan Sandakan

Sandakan adalah daerah yang besar tapi terpencil dari pandangan mata-mata orang kebanyakan. Bila saya ditanya oleh manusia dari mana-mana, apa yang ada di daerah ini, saya hanya mampu berkata - "entahlah, orang utan barangkali."

Tapi mulai semalam, jika soalan sebegitu ditanyakan kepada saya lagi selepas ini, pastinya jawapan saya sudah berbeda -"Oh! di sini pun ada Buku Jalanan." Dan manusia yang mendengar jawapan saya itu mungkin terkejut. Lalu mati. Eh.

Dari program semalam, dapatlah saya ketahui bahawa di daerah 'terpencil' ini, masih ramai manusia yang menganggap buku itu adalah buku, dan bukannya bom -bilamana jika disentuh akan meletup dan menjahanamkan diri sendiri.

Tahniah dan terima kasih pada yang terlibat dan menjayakannya. Semoga program sukarela sebegini diteruskan sampai kiamat. Dan diharapkan selepas ini akan ada lagi aktiviti karya-seni dijalankan di daerah paling timur Malaysia ini. 

p/s: Buku Jalanan Sandakan mencari sukarelawan (di Sandakan) yang berkomitmen macam Alex Ferguson untuk sama-sama 'meng-incas' aktiviti mingguan ini. Jika ada, sila offer diri di page fesbuk BukuJalananSandakan (Klik).


*Kredit Gambar : WanWaris (Klik)

1.9.12

TAMU - Antologi Cerpen Sabahan


PRA-KISAH
“Guntur duduk bersila di pinggir pasar Tamu Kota Belud. Dia menyalakan rokok kirainya di bawah matahari pukul satu tengahari. Dia tidak pasti apakah itu rokok terakhir atau akan ada lagi selepas ini. Dengan kirai yang menyala terselit di bibir, Guntur tersenyum tipis. Senyuman Guntur juga ada sinisnya. Puas hatinya melihat mangkuk tembaga di hadapannya itu sudah penuh dengan wang ringgit. Hasilnya bukan kepalang minggu ini. Tidak seperti minggu yang lalu ketika dia berniaga di pasar Tamu Gaya Street. Di katakan, Guntur adalah seorang penjaja cerita yang paling sohor di pasar-pasar Tamu Sabah. Palsu atau benar ceritanya itu, tiada siapa-lah yang peduli. Masyarakat hanya mahu mendengar cerita Guntur yang penuh drama dan terkadang mendatangkan debar di dada. Sungguh, Guntur seperti memiliki satu kuasa sakti yang dapat mengkhayalkan orang kebanyakan dengan ceritanya. Namun, janganlah kalian tersilap tafsir, Guntur bukanlah seorang Yang Berhormat walaupun ada sesekali terlintas di hati Guntur untuk menjadi seorang Y.B. 

Prakk!! 

Cahaya halilintar memercik dari langit yang terang benderang. Memanah tepat-tepat di mangkuk tembaga Guntur. Wang ringgitnya bertaburan. Guntur tergamam. Tubuhnya kaku. Matanya terpaku. Kirainya pun jatuh. Mangkuk tembaga itu melayang entah ke mana-mana, digantikan dengan sebuah buku yang memancarkan cahaya berwarna pelangi. Guntur bagaikan tersihir menatap buku di hadapannya itu. Bagaikan sebuah mimpi, dia memicingkan matanya mengeja empat aksara di kulit buku yang bercahaya... Langit tiba-tiba berdentum umpama merayakan turunnya buku itu dari langit. “Ah! Ini fiksyen!” bilang si Guntur pada orang kebanyakan yang mulai berkumpul mengelilinginya. 

*******

TAMU, sebuah antologi cerpen fiksyen yang bukan fiksyen dari 11 orang anak-anak negeri di bawah bayu - Syarifah dan Anwar (Bukujalanan KK), Ophan Bunjos, Fallen Angel, Sabridah, Nazdi-has, Iqram Murtaza, Nazihah Rifhan, Ruhafizan, Mimie Nong, dan saya sendiri. Sekiranya berminat, bolehlah ke link di bawah untuk melakukan urusniaga yang diredhai tuhan.

29.8.12

Novel Kolonial Mimpi

Hai, nama saya PK. Saya adalah seorang pemuda yang lahir pada satu malam yang bukan malam. Di mana pada malam yang bukan malam itu, langit dihujani dengan batu-batu meteor dan di horizon barat kelihatan matahari yang masih bersinar direnung bulan purnama. Sesungguhnya, kelahiran saya pada waktu itu adalah satu momen yang indah. 

Saya membayangkan pada waktu itu saya dapat menikmati momen kelahiran saya itu dengan seorang gadis bertubuh montok. Bersama-sama kami berbaring di bawah sepohon pokok oak yang rendang. Lalu bermulalah sebuah lagi momen yang biasanya akan ditapis oleh rangkaian televisyen. Mujurlah itu hanyalah bayangan fikiran saya sahaja. Bukannya sesuatu yang menjadi realiti. Saya pada ketika itu, bersendiri. Lama saya bersendiri, barangkali, mahu 100 tahun juga lamanya. Sehinggalah, pada suatu hari, seorang lelaki datang ke pohon oak itu dengan menunggang seekor kuda unikorn. Dia, katanya adalah seorang sultan sebuah negara yang tidak bernama. Saya ketawa terbahak-bahak bagaikan lelaki itu sedang membuat lucu di hadapan saya. Namun, tawa saya berhenti mendadak apabila lelaki yang mengaku sebagai sultan itu mengatakan, saya ini hanyalah seorang pemuda fiksyen, sama seperti dia. Saya bukanlah real. Dia juga bukanlah real. Dahi saya berkerut, mulut saya mengherot. Jadah apa yang dia mengarut ini? Bisik hati kecil saya. Saya tidak percaya akan kata-katanya. Lalu dia melompat turun dari kuda unikornnya dan menghunus sebilah pedang cahaya. Ditikamnya perut saya sebelum sempat saya bersedia. Saya menutup mata dan menjerit 'arrrggghhh'. Namun, keanehan mula saya rasakan. Saya membuka mata perlahan-lahan. Melihat perut saya yang ditembusi pedang cahaya tanpa mengalirkan darah.

Lelaki sultan itu mengangkat-angkat keningnya memandang saya. Di situ, tahulah saya, mengertilah saya, bahawa sultan itu bercakap benar. Saya ini adalah seorang manusia fiksyen. Menangislah saya 100 malam lamanya di hadapan sultan itu. Meratap-ratap kesedihan atas kefiksyenan saya. Sultan, hanya berdiri sambil menghisap daun-daun marijuana melihat saya menangis hingga air mata saya jadi kering. 

"Beta tahu kau bersedih kerana kefiksyenan kau ini. Namun, apa boleh kita buat. Ini sudah takdir.Inilah hakikat. Kau dan saya sama sahaja," ujar sultan itu kepada saya. "Tapi...ada jalan...ada jalan..." sambungnya lagi. "Kau tidak akan dapat menjadi manusia real selama-lamanya..tapi..kau masih boleh merasa bagaimana menjadi manusia real walaupun kau hanyalah seorang fiksyen," katanya. 

Saya jadi teruja. "Apa dia?..apa dia?" tanya saya tidak sabar.

"Kau hendaklah mencari seorang manusia real bernama Sahidzan di hujung dunia sana, merentasi tujuh lautan samudera, di balik tujuh gunung-ganang yang tinggi tak terkata. Menerusinya, kau akan dapat merasa bagaimana rasanya menjadi seorang manusia real. Bila kau berjumpa dengan dia, bersahabatlah dengan dia. Pengaruhi mindanya. Takluk khayalannya." jawab sultan itu lalu ghaib di telan asap-asap daun marijuana yang keluar dari mulutnya sendiri. Dan dia bertukar menjadi sebuah kompas. 

"Guna kompas untuk mencari lelaki bernama Sahidzan ituuuuu." suara sultan itu bergema-gema entah dari mana. Aneh. Sungguh aneh sultan itu. 

Maka, dari situ, saya pun begerak meninggalkan pohon oak yang rendang dan pergi menuju hujung dunia. Berpandukan sebuah kompas, saya berjaya bertemu dengan lelaki real bernama Sahidzan. Dan bermulalah hidup saya bersama lelaki itu sampai sekarang. Bersama-sama dengannya, saya dapat merasa bagaimanakah menjadi seorang manusia real. Yang hidup di kalangan manusia-manusia seperti robot. Dan melalui dia, saya mendapat idea, bagaimana agar segala kefiksyenan saya ini dapat dirasa oleh manusia-manusia dan membuatkan saya lebih merasa hidup. Lalu, kami pun bersekongkol untuk membuat satu kerja gila. Menulis. Ya, menulis itu adalah satu dari 1001 kerja gila yang ada di dunia. Dan akibat dari persekongkolan itu, akhirnya terhasillah sebuah novel fiksyen yang telah diterima oleh sebuah syarikat penerbitan yang Lejen. Novel yang menggunakan tajuk Kolonial Mimpi. Sungguh, tiada kata yang dapat saya ungkapkan melalui kefiksyenan saya ini selain dari peh peh peh!


Kolonial Mimpi. Ini adalah novel ke-satu saya. Diterbitkan oleh Lejen Press. Bab pertama novel ini boleh di baca di sini; http://www.akulinglung.com/2012/08/bab-1-novel-kolonial-mimpi.html

Setelah baca dan timbul niat untuk membacanya lagi, bolehlah klik link di bawah untuk beli. ihk ihk ihk.
 

Sekian. Terima kasih.

13.8.12

Lenyap Di Mamah Masa - Eureka!

Senja kian berakhir. Karutan burung kakak-tua berwarna kuning di dalam sangkar kayu sudah saya padamkan. Bulan merah mulai bersinar di ufuk utara. Dengan bintang-bintang berjumlah tujuh memagari bulan merah itu bersinar-sinar kebiruan. Saya bangun dari kerusi malas saya di beranda rumah dengan sebatang cerut yang belum terbakar -malah tak pernah pun saya membakarnya walaupun sekali. 

Ketika saya melangkah ke pintu kaca rumah saya, pendengaran saya menangkap sesuatu. Ada gemaan bunyi yang kedengaran entah dari mana-mana. Hati saya secara tiba-tiba jadi gembira. Saya berpaling dan melangkah ke hujung beranda rumah saya semula. Menatap langit. Melihat bulan berwarna merah di ufuk utara. Bintang-bintang berjumlah tujuh itu sudah bertambah satu. Sebutir kilauan bintang yang bersinar paling terang muncul di celah-celah bulan. Dan semakin lama ianya semakin terang...terang..dan terang. Malah, bintang itu juga tampak membesar...membesar..dan membesar. Saya tersenyum tidak sengaja. Ramon...lelaki yang bukan lelaki, perempuan yang bukan perempuan itu sudah pulang dengan sebuah pesawat berbentuk kiub lutsinar. Jelas dapat saya melihat kelibat Ramon melambai-lambai tangannya dari dalam pesawat. 
Pesawat itu mendarat di hamparan rumput hijuan di halaman rumah. Menyebabkan senyuman di bibir saya menghilang. Entah, sudah berapa kali saya katakan pada Ramon, jangan mendarat di hamparan hijau itu!! Rumput itu akan mengering dan mati. Saya amat tidak sukasekiranya kematian berlaku di sekeliling saya. Saya menggeleng kepala melihat Ramon yang baru keluar dari pesawat. 

"Eureka! Eureka!" jerit Ramon memandang saya sambil mengangkat sesuatu di tangannya. Saya kehairanan. Dan timbul sedikit keterujaan melihat Ramon berlari-lari ke arah saya dalam gerak perlahan menjulang sesuatu di tangan. Semakin Ramon mendekat, jelaskelihatan apa yang ada di tangan Ramon itu. Sekeping kertas!

"Apa itu?" tanya saya begitu teruja.
"Ini..lihat ini.." Ramon menghulurkan kepada saya sekeping kertas di tangannya itu. Saya mengerutkan dahi. 
"Ini..ini..penemuan terbaru saya yang saya temui di salah satu tempat di dalam dunia sfera yang pertama!" ujar Ramon. Saya mengambil kertas itu dari tangannya. Mata saya memerhati segenap inci kertas yang terlukis sesuatu yang amat-amat memeranjatkan saya sambil sekali sekala melihat Ramon yang tersenyum miring.
"Bukankah kau ingin mendengar sebuah cerita yang luarbiasa berlaku di dunia sfera yang pertama? Inilah salah satunya! Saya menemuinya dari sebuah negara yang cukup mahsyur namanya di dunia sfera yang pertama tadi, lalu lekas-lekas saya kembali ke sini untuk menceritakan penemuan ajaib saya ini kepada kau," jelas Ramon kepada saya yang masih menatap kertas dengan kebingungan. Aneh..amat aneh dunia sfera yang pertama itu. 


"Barangkali kau masih musykil. Tidak mengapa, mari kita masuk ke dalam rumah. Biar saya ceritakan perkara ajaib ini sampai kau enggan untuk tidur selama tiga hari tiga malam. Mari!!" ajak Ramon dengan teruja.

Kredit gambar: http://stop114a.wordpress.com

4.3.12

Batu Ketiga Dari Matahari


Hai. Nampak atas tu? Itu cover depan buku yang mengumpulkan 47 kisah pendek dari tujuh orang penulis lelaki yang peh! punya main hensem dan seorang penulis perempuan yang peh! punya main cun.

Oleh kerana saya ini tergolong dalam golongan lelaki yang peh!, maka saya pun turut sama menulis di dalam buku ini. kahkahkah. Entah kenapa saya ketawa. Jangan hairan.

Satu hal penting, buku ini bukan seperti buku Kontrol Histeria yang bermain dengan darah. Buku ini bermain dengan perasaan. Kau tahu apa itu perasaan? Atau dengan nada yang berlainan, kau tahu apa tentang perasaan?

Jadi, jangan tunggu lama. Jadilah golongan yang peh! punya main hensem dan peh! punya main cun dengan memiliki dan 'menghidu' bau buku ini. Buku ni saya dengar cuma bertotal 150 bijik ja dicetak. Serius. Harga dia RM 20. Murah gila kan? Mahal lagi Iphone.

Okeylah, cakap banyak pun tiada guna. Dengan lafaz bismillah, sila klik nama dihujung ayat ini untuk buat pre-order. SELAKONZ

 + Lu orang boleh baca cebisan-cebisan cerita buku ini melalui fanpage fesbuk batu ketiga dari matahari. https://www.facebook.com/batuketigadarimatahari