29.8.12

Novel Kolonial Mimpi

Hai, nama saya PK. Saya adalah seorang pemuda yang lahir pada satu malam yang bukan malam. Di mana pada malam yang bukan malam itu, langit dihujani dengan batu-batu meteor dan di horizon barat kelihatan matahari yang masih bersinar direnung bulan purnama. Sesungguhnya, kelahiran saya pada waktu itu adalah satu momen yang indah. 

Saya membayangkan pada waktu itu saya dapat menikmati momen kelahiran saya itu dengan seorang gadis bertubuh montok. Bersama-sama kami berbaring di bawah sepohon pokok oak yang rendang. Lalu bermulalah sebuah lagi momen yang biasanya akan ditapis oleh rangkaian televisyen. Mujurlah itu hanyalah bayangan fikiran saya sahaja. Bukannya sesuatu yang menjadi realiti. Saya pada ketika itu, bersendiri. Lama saya bersendiri, barangkali, mahu 100 tahun juga lamanya. Sehinggalah, pada suatu hari, seorang lelaki datang ke pohon oak itu dengan menunggang seekor kuda unikorn. Dia, katanya adalah seorang sultan sebuah negara yang tidak bernama. Saya ketawa terbahak-bahak bagaikan lelaki itu sedang membuat lucu di hadapan saya. Namun, tawa saya berhenti mendadak apabila lelaki yang mengaku sebagai sultan itu mengatakan, saya ini hanyalah seorang pemuda fiksyen, sama seperti dia. Saya bukanlah real. Dia juga bukanlah real. Dahi saya berkerut, mulut saya mengherot. Jadah apa yang dia mengarut ini? Bisik hati kecil saya. Saya tidak percaya akan kata-katanya. Lalu dia melompat turun dari kuda unikornnya dan menghunus sebilah pedang cahaya. Ditikamnya perut saya sebelum sempat saya bersedia. Saya menutup mata dan menjerit 'arrrggghhh'. Namun, keanehan mula saya rasakan. Saya membuka mata perlahan-lahan. Melihat perut saya yang ditembusi pedang cahaya tanpa mengalirkan darah.

Lelaki sultan itu mengangkat-angkat keningnya memandang saya. Di situ, tahulah saya, mengertilah saya, bahawa sultan itu bercakap benar. Saya ini adalah seorang manusia fiksyen. Menangislah saya 100 malam lamanya di hadapan sultan itu. Meratap-ratap kesedihan atas kefiksyenan saya. Sultan, hanya berdiri sambil menghisap daun-daun marijuana melihat saya menangis hingga air mata saya jadi kering. 

"Beta tahu kau bersedih kerana kefiksyenan kau ini. Namun, apa boleh kita buat. Ini sudah takdir.Inilah hakikat. Kau dan saya sama sahaja," ujar sultan itu kepada saya. "Tapi...ada jalan...ada jalan..." sambungnya lagi. "Kau tidak akan dapat menjadi manusia real selama-lamanya..tapi..kau masih boleh merasa bagaimana menjadi manusia real walaupun kau hanyalah seorang fiksyen," katanya. 

Saya jadi teruja. "Apa dia?..apa dia?" tanya saya tidak sabar.

"Kau hendaklah mencari seorang manusia real bernama Sahidzan di hujung dunia sana, merentasi tujuh lautan samudera, di balik tujuh gunung-ganang yang tinggi tak terkata. Menerusinya, kau akan dapat merasa bagaimana rasanya menjadi seorang manusia real. Bila kau berjumpa dengan dia, bersahabatlah dengan dia. Pengaruhi mindanya. Takluk khayalannya." jawab sultan itu lalu ghaib di telan asap-asap daun marijuana yang keluar dari mulutnya sendiri. Dan dia bertukar menjadi sebuah kompas. 

"Guna kompas untuk mencari lelaki bernama Sahidzan ituuuuu." suara sultan itu bergema-gema entah dari mana. Aneh. Sungguh aneh sultan itu. 

Maka, dari situ, saya pun begerak meninggalkan pohon oak yang rendang dan pergi menuju hujung dunia. Berpandukan sebuah kompas, saya berjaya bertemu dengan lelaki real bernama Sahidzan. Dan bermulalah hidup saya bersama lelaki itu sampai sekarang. Bersama-sama dengannya, saya dapat merasa bagaimanakah menjadi seorang manusia real. Yang hidup di kalangan manusia-manusia seperti robot. Dan melalui dia, saya mendapat idea, bagaimana agar segala kefiksyenan saya ini dapat dirasa oleh manusia-manusia dan membuatkan saya lebih merasa hidup. Lalu, kami pun bersekongkol untuk membuat satu kerja gila. Menulis. Ya, menulis itu adalah satu dari 1001 kerja gila yang ada di dunia. Dan akibat dari persekongkolan itu, akhirnya terhasillah sebuah novel fiksyen yang telah diterima oleh sebuah syarikat penerbitan yang Lejen. Novel yang menggunakan tajuk Kolonial Mimpi. Sungguh, tiada kata yang dapat saya ungkapkan melalui kefiksyenan saya ini selain dari peh peh peh!


Kolonial Mimpi. Ini adalah novel ke-satu saya. Diterbitkan oleh Lejen Press. Bab pertama novel ini boleh di baca di sini; http://www.akulinglung.com/2012/08/bab-1-novel-kolonial-mimpi.html

Setelah baca dan timbul niat untuk membacanya lagi, bolehlah klik link di bawah untuk beli. ihk ihk ihk.
 

Sekian. Terima kasih.