6.9.12

Kampung Pecah : Perigi Mael

Pada suatu hari di kampong Pecah, Mael jumpa sebuah perigi yang jernih airnya. Gembiralah di hati Mael apabila mendapati, perigi itu berada di tanahnya. Dapatlah dia dan seisi keluarganya menggunakan air itu untuk kegunaan seharian dan berjimat sedikit dalam menampung kos air paip yang tinggi bukan kepalang dari kampung sebelah. Mael, bukanlah seorang yang hidupnya senang. Oleh sebab itu, amatlah penting untuknya berjimat. Semoga, dapat dia membeli keperluan-keperluan lain untuk keluarganya dari hasil penjimatan-nya itu seperti membeli tivi plasma misalnya.

Oleh kerana Mael ini tinggal di kampong Pecah, berita Mael jumpa perigi itu cepatlah tersebar dan sampai ke telinga ketua kampong, Haji Bobby. Maka, Haji Bobby pun bikin mesyuarat atas penemuan Perigi Mael. Dalam mesyuarat yang dihadiri oleh para orang-orang besar Kampong Pecah, sebulat suara mengambil keputusan agar, Perigi Mael itu dimilik-kampongkan. Untuk kegunaan bersama masyarakat kampong Pecah. Mael, atas semangat ke-kampongan, bersetuju dan akur sahaja pada keputusan mesyuarat. Lagipun, siapalah dia untuk membantah dan air di perigi itu pun pada firasat Mael, amatlah banyak airnya. Takkan habis sampai sepuloh keturunan. Apalah salahnya untuk dia berkongsi dengan masyarakat kampong Pecah.

Selang dua hari dari mesyuarat, sebuah Kompeni pam air yang dilantik oleh Haji Bobby datang ke Kampong Pecah untuk memasang pam air berkuasa tinggi di perigi Mael. Kompeni yang diberikan nama Kompeni Petrobobby. Pada mulanya, penduduk kampung berasa hairan juga kenapa nama Kompeni itu hampir sama dengan dengan nama ketua Kampong Pecah. Mujurlah Haji Bobby lekas memberi penjelasan bahawa Kompeni itu milik sepupu lima kalinya di bandar. "Daripada kita ambil orang lain, baik kita ambil orang sendiri kalau orang kita ada kepakaran" , bilang Haji Bobby di surau Kampong Pecah pada suatu malam.

Hos-hos paip dari pam air berkuasa tinggi itu pun disambungkan ke setiap rumah di kampong Pecah termasuklah rumah Mael. Gembiralah Mael dan penduduk-penduduk kampong Pecah bila menikmati air perigi yang jernih dan dapat berjimat dari membayar bil air paip yang tinggi bukan kepalang dari kampong sebelah. Namun, kegembiraan itu hanyalah sementara, apabila haji Bobby menghantar surat pada setiap rumah yang disambungkan hos-sos paip yang baru. Di surat itu, tertulis kos-kos pemasangan air paip dari Kompeni PetroBobby yang perlu ditanggung oleh setiap rumah yang dipasangkan hos-hos paip dari Perigi Mael. Dinyatakan juga, kadar bil bulanan yang harus dibayar kepada Kompeni itu mengikut penggunaan air Perigi Mael. Di kaki surat, dituliskan p/s: tertakluk pada keadaan semasa ekonomi dunia. Apa jadah tertakluk pada keadaan semasa ekonomi dunia itu, tiadalah diketahui oleh penduduk-penduduk Kampong Pecah dan Mael sekali pun. Walaubagaimana pun, surat itu tetap diterima dengan senang hati oleh penduduk Kampong Pecah apabila melihatkan kadar bayaran air Perigi Mael itu lebih rendah berbanding dari kadar bayaran air paip dari kampung sebelah yang dikatakan mencekik darah. Dan Mael juga sedikit gembira apabila Haji Bobby menjanjikan, Mael akan dapat royalti ehem-ehem persen atas Perigi Mael. Mael juga dihadiahkan oleh Haji Bobby sebuah tivi plasma 21 inci.

Namun, Haji Bobby hanyalah ketua Kampong yang pandai berjanji. Bayaran royalti Perigi Mael yang dibayar kepada Mael adalah kurang dari jumlah yang dijanjikan. Malah, terbit kemusykilan di hati Mael serta seluruh ahli keluarganya di rumah, apabila bayaran royalti itu juga tidak cukup untuk menampung bil bulanan air yang digunakan di rumah Mael setelah harga air dinaikkan secara mendadak syarikat PetroBobby atas alasan, 'Tertakluk pada keadaan semasa ekonomi dunia' yang tercatit di kaki surat dahulu. Hinggalah suatu ketika, Mael berfikir sedalam-dalamnya di bawah pohon cemara, di mana logik akalnya apabila dia sendiri pun perlu membayar bil bulanan air Perigi Mael itu sedangkan perigi itu berada di tanahnya? Kemusykilan dan persoalan itu berlarutan di hati Mael sampai dia jadi arwah. Dan waris-warisnya kini sedang bertelingkah dengan Haji Booby soal royalti yang tidak dibayar pada kadar ehem-ehem persen kepada mereka atas Perigi Mael tersebut. Haji Bobby ketua Kampong Pecah jadi gelabah angkat kaki bercuti ke Ostrolia.