Laut yang berolak tenang tiba-tiba saja jadi tak keruan. Gelombang-gelombang gergasi jelas kelihatan. Sekumpulan ikan paus putih melompat dari dalam laut terpekik-pekik macam ikan gila. Ketam-ketam jadi gelabah. Udang-udang terpinga-pinga. Obor-obor berbisa berbunuhan antara satu sama lain. Sotong kurita melepaskan cairan hitam memecut melarikan diri ke mana-mana. Jerung-jerung kehilangan gigi. Semua makhluk di lautan mendadak huru-hara.
Dum!
Letupan kedengaran serentak dengan percikan cahaya hijau di ufuk timur lautan pasifik. Menjadikan keadaan laut yang huru-hara tadi jadi senyap dan tenang semula. Tapi selang tujuh saat, kelihatan gelembung-gelembung air muncul di permukaan laut. Dan kemudian muncul pusaran air yang pada mulanya kecil menjadi besar, besar dan besar. Sehingga jika dipandang dari atas, seperti lautan yang luas itu telah berlubang.
Dari pusaran air di tengah lautan pasifik itu, muncul perlahan-lahan sebuah kapal layar besar yang badan kapalnya diperbuat seratus peratus dari kayu jati asli, layarnya di\jahit dari kain sutera negara China. Itulah kapal hantu yang menjadi sebutan pelaut-pelaut antarabangsa selama ini, The Flying Dutchman. Hanya muncul di lautan sekali setahun tika matahari dua puloh tujoh disember terbit di ufuk timur.
Di atas dek kapal, kapten William Turner sedang berdiri tegak menatap sesuatu di tangannya. Mengangkat-angkatnya ke atas, ke bawah, ke kiri, ke kanan. Dahinya berkerut-kerut.
"Kapitan! Kapitan!" sa-orang kelasi menjerit-jerit di hujung kapal. "Sini...sini...ada line," pekik kelasi itu pada kapten William yang mula melangkah ke hujung kapal menggeleng-geleng kepalanya.
"Apa punya taliponlah payah dapat line ni?" keluh kapten William di hujung kapal sambil mula mendail nombor seseorang.
trruuttt... truuuutt.. trruuutt...
"Hello..hello..PK..dengar? Hello..." kata kapten sejurus panggilannya di jawab.
"Ya..ya.. hello dengar. Siapa ni?"
"Ha! Gua ni. William Turner dari Flying Dutchman."
"William Turner? Peh! Apahal? Lama kau tak talipon."
"Kakaka. Sori, alam barzakh tarak line."
"Hahaha. Jilaka!"
"Ni gua talipon ni nak bagitau, ini hari 27 haribulan disember. Lu punya birthday kan? Ha! Selamat hari jadi lah, bero!"
"Woha! Thank you..thank you!"
"Jadi, lu dah sedia ke alam barzakh kah, bero? Gua mau datang ambil lu ni."
Tuttt...tuttt...tuttt... Panggilan dimatikan. Kapten William mencarut.