20.2.11

Kampung Pecah : Di suatu pagi gua pergi pekan

Kokokan ayam-ayam jantan kedengaran bersahut-sahutan mahu menunjukkan kejantanan masing-masing di saat fajar di ufuk timur mula menyinsing. Kabus pagi yang dingin singgah membelai ke wajah gua seumpama belaian seorang anak dara sunti. Embun-embun suci pun mula membasahi pipi sampai tersentuh di dalam gua punya hati. Tersentuh kerana gua pergi pekan pagi ini dengan berjalan kaki.

Jarak perjalanan dari kampung Pecah ni ke pekan taklah jauh sampai memakan masa sepurnama lamanya. Kalau mengikut pengalaman gua dalam kerja berjalan kaki ke pekan ni, ia cumalah mengambil masa satu jam setengah saja. Kalau berjalan kaki begitu punya lama biasanya tak juga terasa sekiranya ada kawan berjalan sama. Sebab boleh berbual. Itu kalau ada kawan untuk berbual. Gua ni mana ada kawan di Kg. Pecah ni. Harap ustaz Samizul tu jadi kawan gua, tak usah lah. Gua mahu pinjam motor dia semalam untuk ke pekan pagi ni pun dia tak bagi. Motor dia rosak katanya dan dia berkata ketika dia sedang berada di atas motor itu siap-siap mahu balik rumah dari surau. Apa punya ustaz kedekut sedemikian rupa?. Gua sudah mula timbul rasa ragu-ragu terhadap gelaran ustaz dan imam pada ustaz Samizul itu. Macam tiada tauliah punya ustaz. Tapi apakan daya. Cuma dia saja yang layak dalam kg.Pecah.  Mahu harapkan Hj.Bobby? Janganlah. Bulan lepas tiket nombor toto melayang jatuh atas sejadah dari dalam kocek bajunya sewaktu dia ruku' di rakaat pertama solat Jumaat bertiga dengan gua dan ustaz Samizul. Hj.Bobby pergi jumaat pun ketika itu atas sebab memujuk gua untuk memberikan nombor telefon Ana Raffali. Gua mana mahu bagi. Hj.Bobby tu dah ada dua bini masih tak puas-puas lagi shahwatnya. Patutnya dia mencontohi wak Sopian yang setia orangnya. Setia pada diri sendiri. Tak kahwin-kahwin sampai usia lanjut macam tu.

Tak teringinkah wak Sopian merasa untuk bermadu asmara di malam pertama? Tak mahukah dia merasa untuk hidup berumah tangga? Tak rasa sedihkah dia jika dia pergi dari dunia ini tanpa meninggalkan satu pun cahaya mata?

"Bukan wak tak ingin semua itu. Wak ingin juga sebenarnya. Tapi....", kata-kata wak sopian terhenti di situ. Bibit-bibit air mata mula terbit dari kelopak matanya yang tampak garis-garis kedut di bawah kelopak matanya itu. Tak tertahan. Air matanya mengalir menyentuh pipi di suatu petang dekat nak senja dua hari yang lepas ketika gua dijemput ke rumahnya untuk berborak dan menikmati sedikit juadah kuih keria dan karipap inti kari ubi kentang berserta air coca-cola. Jarang-jarang sekali gua melihat juadah minum petang yang menyelerakan dan mewah sedemikian rupa di rumah wak Sopian.

Terdetik juga pertanyaan di hati gua dari mana wak Sopian dapat duit membeli juadah tersebut. Wak Sopian ni mana ada duit. Sama macam gua. Tapi gua lenyapkan pertanyaan itu dalam hati saja. Tak elok sekiranya gua bertanya pertanyaan itu setelah gua dijemput dengan baik. Apatah lagi dikala rumah gua tiada suatu barang pun yang boleh dimakan pada hari tersebut kecuali sebatang tebu yang sudah kering.

"Tapi kenapa wak Sopian?" gua mula timbul rasa ingin tahu cerita selanjutnya yang sengaja digantung oleh  wak Sopian agar nampak menyentuh sedikit perasaan dan keterujaan gua. Kuih keria gua suapkan ke mulut dan gua kunyah perlahan-lahan. Wak Sopian menyeluk kocek seluarnya lalu mengeluarkan sekotak rokok jenama Mild Seven. Mata gua terpana. Gila apa wak Sopian hisap rokok mahal? Biasa dia hisap kirai saja. Itu pun kirai daun pisang kering. Gua percepatkan kunyahan kuih keria di dalam mulut gua supaya dapat merasa juga rokok Mild Seven itu. Wak Sopian menyalakan sebatang rokok Mild Seven dan meletak kotak rokok itu di hadapan gua yang sedang duduk bersila mengadap wak Sopian.

"Wak dulu waktu muda macam kamu, pernah bersama dengan seseorang gadis kampung ini. Tapi biasalah. Adat orang kampung kita. Sentiasa cemburu. Apatah lagi cinta hati wak ketika itu perempuan paling cantik dalam kampung ini." jawab wak Sopian sambil menghisap rokok yang diselit di jari kirinya. Gua tanpa meminta izin mencapai kotak rokok berwarna biru di hadapan gua seraya menyambung borak bertanya. "Apa yang terjadi sebenarnya wak Sopian? Perempuan tu kena jampi? Perempuan tu kahwin lain? Siapa perempuan itu?".

Wak Sopian menuang air coca cola ke dalam gelas plastiknya perlahan-lahan agar tak tumpah buih-buih gas air coca cola itu lalu menjawab segala pertanyaan gua. "Wak dulu hidup sebatang kara dan miskin. Sekarang pun masih miskin. Perempuan itu sebenarnya anak ketua kampung ketika itu Lebai Sasa Al-Syarif. Keturunan Arab Morocco. Hidungnya mancung bak paruh burung kakak tua. Bibirnya merah bak delima. Pipinya gebu tak terkata. Tubuhnya solid macam Kareena Kapoor. Nama perempuan itu Sabridah si mawar berduri.", bicara wak Sopian berhenti seketika untuk meneguk air coca-cola. Gua sudah mula menghembus-hembus asap rokok Mild Seven ke udara.

"Waktu tu seingat wak ramai sungguh pemuda kampung Pecah ni cuba menyunting mawar berduri itu dari halaman rumah Lebai Sasa. Antara ramai-ramai tu Lebai Sasa sebenarnya lebih suka pada pemuda yang ada kerjaya sabagai askar wataniah. Maklumlah waktu tu kan era komunis bintang tiga. Tambah lagi susur galur keturunan lebai Sasa ni sememangnya berdarah pahlawan sejak zaman kerajaan Majapahit lagi. Maka oleh yang sedemikian ramailah pemuda-pemuda kampung ni ketika itu berpusu-pusu pergi temuduga di kem tentera wataniah yang ada berhampiran dengan hutan belintang ketika itu." cerita wak Sopian semakin sedap dan khusyu gua dengar sampai tak sedar rokok di jari gua sudah sampai ke garisan filter. Gua toleh ke belakang mengadap halaman rumah wak Sopian lalu menjentik puntungan rokok Mild Seven yang masih berbara. Rumput-rumput semalu yang tumbuh meliar tak terjaga di halaman rumah Wak Sopian menguncupkan diri bila terkena puntungan rokok yang gua jentik itu. Kelihatan juga seekor anak ular sawa melarikan diri terpinga-pinga sambil mencarut dek terkejut dengan tempias bara api rokok yang singgah menyapa di badannya.

"Jadi wak Sopian pun turut sama sekalilah pergi temuduga askar waktu tu?", gua bertanya lagi untuk mengikuti kisah lanjut nostlagia cinta wak Sopian sambil tangan gua mencapai sebiji kuih karipap.

Wak Sopian membetulkan silanya dan menyambung kisah."Ya, wak pun tak ketinggalan untuk pergi temuduga askar wataniah waktu tu setelah wak melihat Sabridah si mawar berduri seakan-akan putus asa memujuk ayahnya untuk menerima wak sebagai menantu. Tapi malang bila hasrat di hati untuk wak jadi askar wataniah punah setelah hj. Bobby menabur fitnah di kem tentera yang wak ni kononnya tali barut komunis bintang tiga. Ikutkan hati wak ketika itu mahu saja wak bagi tendangan tanpa bayang ke arah hj.Bobby. Nasib baik saja ketika itu ada seorang askar berpangkat sarjan nama Jamal Abdillah yang memanggil hj.Bobby masuk dalam pejabat untuk uji air kencing. Jadi wak pun balik kampung semula dengan perasaan hampa tak terkata bila permohonan wak untuk masuk askar di tolak sebab fitnah hj.Bobby itu. Penemu duga askar tu kata sama wak yang mereka tak mahu mengambil risiko mengambil wak bekerja dengan askar. Wak balik kampung saja terus menapak ke rumah ketua kampung dan cuba menjelaskan perkara itu pada lebai Sasa. Tapi biasalah, orang miskin sebatang kara macam wak ni lebai Sasa mana mahu pandang. Lebai Sasa tetap dengan keputusannya mahukan menantu seorang askar wataniah. Wak terus kecewa dan bailk rumah tidur dengan hati yang lara.", cerita panjang wak Sopian di hadapan gua yang tengah sedap menyuap kuih karipap yang terakhir dihadapan kami berdua.

"Jadi Sabridah si mawar berduri tu kahwin dengan siapa wak Sopian? Takkan dengan hj.Bobby pula." Gua cuba mencari penamat cerita wak Sopian setelah melihatkan pinggan yang penuh dengan kuih keria dan karipap sebentar tadi dah kosong dan barisan kelawar pun sudah mula bertenggek di pagar usang beranda rumah wak Sopian menandakan hari sudah mahu gelap. Ditambah lagi dengan buku lali gua sudah mula terasa bengkak kerana duduk bersila di atas papan lantai tak berlapik beranda rumah wak Sopian. Bukan beranda rumah saja sebenarnya yang tak berlapik, lantai dalam rumah wak Sopian pun tiada karpet. Jangankan karpet, tikar getah yang boleh di beli secara hutang dengan peniaga pakistan pun wak Sopian tak mampu untuk beli.

"Sabridah tak kahwin dengan siapa-siapa. Sebab tak siapa-siapa pun yang berjaya dan selamat jadi askar wataniah masa tu. Kem tentera dekat hutan belintang tu kena serang dengan komunis seminggu kemudian. Semua terkorban terkena molotov koktel minyak tanah. Cuma hj.Bobby dan Jamal Abdillah saja yang sempat melarikan diri. Panjang umur hj.Bobby itu. Ada juga dia bawa Jamal Abdillah tidur di rumahnya dua malam." Wak Sopian berkata sambil mulut sudah mula menguap sebagai tanda mahu menghalau gua dari situ.

"Eh, kalau hj.Bobby terselamat, kenapa dia tak dikahwinkan dengan Sabridah tu saja? Apa jadi dengan Sabridah?" gua bertanya lagi bila cerita Wak Sopian seakan-akan wujud satu misteri. Tangan gua panjangkan mencapai kotak rokok Mild Seven sekali lagi.

"Hj.Bobby tu sebenarnya diterima masuk kerja askar. Tapi bukanlah askar yang pegang senjata seperti yang hj.Bobby cerita dengan bangga pada orang-orang kampung. Dia jadi tukang masak saja di kem tentera waktu tu.  Pasal tu dia pun tak layak kahwin dengan Sabridah si mawar berduri. Oleh kerana tiada siapa yang layak, maka Lebai Sasa pun menghantar Sabridah ke Kaherah belajar ilmu perubatan. Setahun kemudian Lebai Sasa kena lucut jawatan selepas di katakan menyokong usul ganyang Malaysia oleh negara jiran kita. Itu orang kampung yang katalah, wak tak tahu juga cerita sebenarnya. Maka lebai Sasa pun berpindah ke Aceh dan mula berniaga menjual kamera. Itu pun orang yang cerita. Sejak kehilangan Sabridah tu, wak rasa kecewa dan malas untuk bercinta lagi dan malas sudah mahu bercerita lagi sebab hari dah gelap, engko tak tahu mahu balik rumah sendirikah?", Wak Sopian berkata dan bangun berdiri perlahan-lahan meluruskan urat-urat belikat tubuh uzurnya. Gua pun bangun berdiri bila terasa Wak Sopian serius mahu gua balik rumah. Sambil tu gua capai lagi kotak rokok Mild Seven di lantai mahu mengambil sebatang dua sebagai bekalan dalam perjalanan balik rumah nanti. Jarang gua dapat merasa rokok Mild Seven ni.

"Engko ambillah rokok tu. Wak ada simpan stok lagi 2 kotak dalam rumah. Siang tadi wak menang main kuda di pekan.", kata wak Sopian seraya melangkah masuk ke dalam rumahnya meninggalkan gua sendiri pandai-pandailah membawa diri di beranda rumahnya. Patut wak Sopian tampak mewah hari ini. Menang mesin kuda rupanya. Gua menggeleng kepala sendiri-sendiri bila mengenangkan kuih karipap dan keria serta air coca cola yang telah berpadu di dalam tubuh gua. Gua merenung tajam kotak rokok Mild Seven itu. Malaikat dan syaitan mula bergaduh. Gua masukkan kotak rokok itu ke dalam kocek dengan penuh rasa bersalah tipisnya iman dan melangkah menuruni tangga rumah wak Sopian dengan berhati-hati. Empat ekor kelawar yang bertenggek di pagar beranda rumah wak Sopian serentak menggelengkan kepala masing-masing melihat gua melangkah pergi balik ke rumah di senja itu.

Sedar tak sedar gua pun sudah sampai ke pekan. Perjalanan selama satu jam setengah dari kampung Pecah ke pekan pagi ini langsung tak terasa jauhnya bila gua berbual dengan hati yang banyaknya habis bercerita pasal wak Sopian. Gua terus melangkah kaki ke sebuah gerai makan untuk membasahi tekak dengan segelas teh susu di tepi jalan berhadapan dengan sebuah kedai yang terpampang papan tanda 'Pusat Internet Dariku Zulkifly' milik seorang guru di SK.Kg Pecah. Gua ke pekan pagi ni cuma mahu pergi pusat internet itu untuk membaca blog Pecah Kata. Gua dengar blog itu menang peraduan menulis cerpen anjuran kampung Wasaber bulan januari lalu. Sakit hati juga gua mendengarnya. Tapi tak mengapalah. Lagi pun penulis blog itu mengucapkan jutaan terima kasih pada penganjur dan pengundi yang mengundi beliau. Itu pun kalau ada yang mengundilah. Kalau tiada, kasihan sungguh penulis itu. Gua pun tidak faham apa punya cerita blog itu sampai boleh menang dapat nombor satu. Musykil gua.

Sedang gua menarik hirupan air teh di gerai itu, mata gua terarah ke sebuah motor EX5 yang sedang berhenti di tepi gerai. Penunggang motorsikal itu berjalan masuk gerai tanpa membuka helmet di kepalanya. Seorang perempuan. Gua tersengih manja lalu dilamun cinta. Balik kampung naik motorlah gua hari ni.