26.4.11

Kampung Pecah : Kemajuan

Masa itu punya lumrah. Maju ke hadapan. Tak sesekali akan mundur. Begitulah juga dengan kehidupan. Perlu maju ke hadapan. Bukan undur ke belakang. Dengan mengikut lumrah peredaran masa yang sentiasa maju ke depan, maka taraf kehidupan di sesebuah tempat pun mestilah bergerak ke arah kemajuan. Ibarat ombak yang sedang bergerak di lautan menuju destinasinya di pantai, begitulah juga dengan kemajuan yang bergerak menuju destinasinya di kampung Pecah. Mahu tidak mahu, gua menerima kemajuan kampung Pecah ini dengan tangan yang terbuka dan bersifat mesra.

Ternyata kampung Pecah ini sudah maju. Sudah nampak perubahannya ketika ini. Sudah ada beza. Jika dulu gua terpaksa berjalan kaki mahu setengah batu ke belakang rumah Hajah Lina  untuk meminjam perigi buat mandi, sekarang ni dah berubah. Air paip dah masuk atas usaha Hj.Bobby, ketua kampung yang turun naik pejabat air selama ini walau pun mahu main kena bising dengan Wak Sopian tiap kali mesyuarat. Tak juga gua bersusah payah berebut dengan angsa menimba air perigi belakang rumah Hajah Lina tu tiap kali terasa mahu mandi masa ni.

Rumah gua dah ada satu jenis barang yang dinamakan kepala paip yang gua lokasikan di belakang rumah. Gua cuma pusing, air mencurah-curah keluar gua tadah dengan besen. Nyaman sungguh rasanya mandi pakai air paip ni. Kepala paip belakang rumah gua tu disambungkan dengan satu barang yang dinamakan batang paip pvc. Dan batang paip pvc itu gua sambungkan dengan satu hos getah yang bersilih ganti dengan batang buluh dan panjangnya mahu setengah batu juga sampai ke rumah Hajah Lina. Ini semua gara-gara tercicirnya borang permohonan sambungan meter air ke rumah gua, itu kata ketua kampung tempoh hari. Betul atau tidak, gua malas mahu bising. Oleh sebab itu, air paip di rumah gua ni operasinya berkala mengikut jadual yang ditetapkan oleh Hajah Lina iaitu sekali saja dalam sehari selama 30 minit pada waktu petang. Air yang mencurah selama 30 minit itulah gua gunakan dengan sebaik-baiknya untuk basuh badan, basuh pakaian, basuh pinggan mangkuk, dan basuh beras. Pada mulanya dulu, Hajah Lina cuma bagi gua pakai air selama 10 minit saja. Gila apa gua boleh buat dengan 10 minit itu? Mandi pun macam tak mandi. Pakaian gua tak sempat nak bilas sebab bagi laluan pada beras untuk dibasuh dulu. Pinggan mangkuk sentiasa ada kesan minyak. Ditambah dengan perangai air paip yang selalu tersekat-sekat bila hos getah dipijak dengan kerbau peliharaan Hajah Lina sendiri, maka gua pun berunding secara aman dengan Hajah Lina agar dinaikkan sedikit masa operasi air paip itu ke 30 minit lamanya. Hajah Lina setuju selepas gua bersetuju makan hati punya setuju untuk membayar bil bulanan kepadanya sebanyak RM 60 dan membeli minyak wangi import yang dia sedang jual sekarang. Gua iyakan saja untuk membeli.

Selain dari masuknya air paip ke kampung Pecah ini, jalan raya pun sudah mula menampakkan kemajuan. Jika dulu orang kampung terpaksa bermandi debu pasir jalanan bila musim kemarau dan bermandi lumpur  tolak kereta yang sangkut bila tengkujuh melanda, kini itu sudah berubah. Jalan raya sudah hampir separuh di turap dengan tar jalan . Gembira betul orang kampung Pecah ni bila tengok jentera-jentera buat jalan mula masuk tempoh hari. Terutama Ariez Hazaril dan Zahidin. Bayak besi boleh dijual kata mereka. Rantai traktor contohnya. Hj.Bobby pun gembira tak terkata. Siap buat majlis kenduri Hj. Bobby menyambut ketibaan jentera-jentera buat jalan kampung Pecah. Gua rasa Hj.Bobby saja satu-satunya ketua kampung dalam Malaysia ni buat kenduri kesyukuran menyambut ketibaan jentera-jentera buat jalan. Lepas kenduri, menari poco-poco. Ustaz Samizul geleng kepala saja waktu tu ajak gua balik rumah. Gua menolak dengan baik. Mana mungkin gua lepaskan peluang melihat bunga-bunga mawar merah Kg.Pecah berlenggang menari poco-poco. Terutama sekali si Sabridah mawar berduri itu. Kaki poco-poco katanya dia. Maka baliklah ustaz Samizul dengan motor kapcainya meninggalkan majlis menari poco-poco. Tapi tidak lama, ustaz Samizul muncul kembali di majlis tersengih-sengih tak pakai kopiah. Gua pula yang geleng kepala tengok ustaz Samizul hari tu.

Semenjak adanya jentera-jentera buat jalan di kampung ini juga, gua dengar ramai penduduk kampung yang dah mula bercerita pasal mahu beli kereta proton macam doktor Hanis punya kereta. Beberapa hari lepas ketika gua pergi pekan gua terserempak dengan adik ketua kampung, si Zurina. Siap pakai gincu merah. Bedak dimuka, masyaallah dah macam opera cina. Masuk ke dalam kedai jual kereta terpakai. Dukun Vizard Piremon pun dengar-dengar ada pasang niat mahu pakai kereta kancil dan dah berura-ura mahu jual burung kasawarinya selepas usaha toyol-toyol peliharaanya mencari rezeki tak kemana dek takut dengan ustaz Samizul. Sedih burung kasawarinya. Jenis habis madu sepah dibuang punya dukun. Malah cik Nieja pun sudah mula terherot-herot mulut bercerita dengan orang sekitar bahawa gua ni mula membuat onar memalsukan dokumen untuk menipu bank buat pinjaman beli kereta. Apa punya mengarut cik Nieja itu.

Ada banyak lagi kemajuan kampung Pecah ini kalau mahu diceritakan selain daripada masuknya air paip dan pembinaan jalan berturap. Seperti talian telefon, talian internet dan talian persaudaraan di antara penduduk kampung. Rumah ketua kampung sendiri pun gua lihat dah semakin maju sekarang tak macam dulu. Malah ketika ini gua dengar ketua kampung ada buat pertandingan mencipta logo. Hadiahnya kereta. Ada juga hajat dihati gua mahu mencipta logo, tapi gua batalkan saja niat bila gua sedar dan berpijak di bumi nyata yang gua ni tiada bakat lain selain dari memasak nasi dan bercerita dengan kawan. Itu pun kalau gua ada kawan. Kalau tiada, maka tiadalah juga bakat bercerita gua itu.

Kemajuan kampung Pecah ni sebenarnya menarik ramai orang untuk tinggal di sini. Ramainya sampai satu ribu lebih ketika ini. Terdiri dari pelbagai jenis lapisan punya orang. Ada tadi gua menyapa seorang selepas dia menyapa gua. Seorang pemain badminton dari weston katanya. Berani sungguh dia. Tidakkah dia tahu gua ni dulu pernah berlatih pukulan servis pancung dari Haji Misbun? Tidak kurang juga para bunga yang baru tiba dari macam-macam punya negara seperti Damia Ayesha dari negara Parsi, Pink Diva seorang wanita menjual tudung import dari Jordan, EchaRierie gadis semasa dari Argentina, dan ramai lagi penduduk kampung lain yang baru gua nampak di kampung Pecah ini.

Bila dah sampai beribu, ramailah yang gua tak kenal. Ingin sekali gua menyapa ke semua penduduk-penduduk kampung yang baru muncul itu, tapi malu sedikit rasa di hati. Di tambah dengan kesibukan gua pergi menebas belakang rumah cik Catherine untuk mencari duit lebih buat bayar bil air dan membaiki rumah gua yang usang ini. Kasihan.

*******

Kampung Pecah
Kampung Pecah : mesyuarat
Kampung Pecah: Misi menyelamat Zahidin
Kampung Pecah: Di suatu pagi gua peri pekan