9.8.11

Kampung Pecah : Tarawih IV (Last)


Maka bergeraklah Hj.Bobby duduk atas sejadah paling hadapan tepi mimbar dan jemaah di belakang memenuhkan saf dengan rasa debar.

"Ha!! siapa bilalnya?" tanya Hj.Bobby paling muka ke jemaah di belakang. Jemaah toleh muka pandang kiri dan kanan. Gua terus angkat tangan. Kerja bilal ni memang gua punya kerja dari zaman sekolah-sekolah. Tapi Hj.Bobby pula buat-buat buta tak nampak gua.

"Sabar, nice guy finish last selalunya." kata Wak Sopian siap tepuk-tepuk bahu gua. Gua pandang Wak Sopian tajam-tajam. Wak Sopian terdiam telan air liur.

"Saya bilalnya, tuan haji." Seorang pemuda baju melayu warna biru duduk saf pertama angkat tangan. Berbadan gempal namanya Ahmad Bujal. Sepupu dua kali Hajah Lina. Bekerja di kota raya. Balik bercuti ke kampung Pecah sebab bini Ahmad Bujal tengah menunggu hari. Mahu beranak cara kampung. Penuh dengan istiadat kononnya. Entah istiadat apa gua tidak tahu.

"Betul kamu boleh?" tanya Hj.Bobby kurang yakin pada Ahmad Bujal.

"Betul, haji. Saya yakin saya boleh." jawab Ahmad Bujal sungguh-sungguh mahu jadi bilal.

'Baiklah. Kamu mula sekarang." arah Hj.Bobby. Ahmad Bujal membetulkan duduk. Berdehem-dehem ejas peti suara di kerongkong.

"Subhanallah walhamdulillah walailahaillallah......." Ahmad Bujal membaca tahmid tarawih dengan suara solid macam Jalil Hamid. Jemaah lain tunduk-tunduk pasang telinga dengan asyik.

"Allhumma salli a'la muhammad." Ahmad Bujal naikkan suara.

"Sallahu wasalamu alaih." Dijawab pula jemaah surau.

"Assolatut tarawih min qiami syahri ramadhona athabakumullah" Ahmad Bujal berdiri lalu dituruti jemaah lain dengan laungan "Assolatu lailahaillallah." 

Gua berdiri di saf nombor dua. Tepi kiri gua Wak Sopian. Tepi kanan, Delarocha. Berdarah campuran Portugis dan Jawa Sumatera. Tengah tersengih tak tentu pasal sama gua. Perangai sengih sebegitu rupa memang sudah ada sejak lahir lagi dalam diri Delarocha. Pernah sekali dulu Delarocha kena tumbuk dengan Hj.Bobby bila Delarocha tersengih-sengih tengok makcik Finnie, bini nombor dua Hj.Bobby menyidai kain di halaman rumah. Gua dengar sampai jadi kes polis.

Hj.Bobby di hadapan sudah siap sedia angkat takbiratulihram.

"Allahuakbar." Padu suara Hj.Bobby. Maklumlah, bekas askar.

Makmum di belakang bersama-sama angkat takbiratulihram rakaat pertama solat tarawih. Gua fokus pandang sejadah. Penuh khusyu. Wak Sopian kesat-kesat dahi berpeluh. Delarocha di kanan tahan sengih batuk-batuk. Surau kampung Pecah ni panas, kipas rosak belum dibaiki.

Seminit surau sunyi, menanti bacaan fatihah Hj.Bobby.

Dua minit, surau masih sunyi.

Tiga minit.

Lima minit.

Sepuluh minit, masih juga sunyi. 

Gua sudah hilang fokus. Hilang khusyu. Mata gua melirik ke hadapan, ke kiri, ke kanan. Apa hal lama sangat baca iftitah Hj.Bobby ni? Jemaah lain sudah mula toleh kepala kanan dan kiri. Wak Sopian sampai toleh belakang. Delarocha makin kuat terbatuk-batuk.

Dikala seluruh jemaah yang sudah hilang fokus dan hilang khusyu, tiba-tiba Hj.Bobby terus rukuk. Makmum di belakang jadi kucar-kacir turut sama tunduk ikut rukuk. Hj.Bobby iktidal, sujud, duduk antara dua sujud, sujud dan berdiri semula untuk rakaat ke dua dengan pantas tanpa ada toma'ninah.

Rakaat ke-dua, sama juga dengan rakaat pertama. Berdiri selama 10 minit tanpa suara walau sekelumit. Rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud, sujud dan tahiyat akhir dengan pantas. Hj.Bobby paling ke kanan dan kiri bagi salam, ejas duduk mengadap makmum di belakang. Makmum pandang Hj.bobby, Hj.Bobby pandang Ahmad Bujal.

"Kau tunggu apa lagi, bacalah." tegur Hj.Bobby pada Ahmad Bujal yang tampak hilang arah lupa mahu baca apa. Ahmad Bujal jadi berpeluh.

Prreenngg...preenggg..!! Bunyi motor tiba di perkarangan surau. Makmum mula berbisik antara satu sama lain.

Tidak lama, Ustaz Samizul muncul di pintu surau. Memegang sebuah buku warna jingga. Jemaah surau, muka semua pancar cahaya, hati penuh lega.


Habis.


7.8.11

Kampung Pecah : Tarawih III


"Wak tak tahu berwuduk, ya?" tanya gua pada Wak Sopian. Dengan nada yang serius.

Wak Sopian menjatuhkan tangan. Tunduk ke bawah. Angguk kepala.

"Astaghfirullah, Wak Sopian."  Lantas gua membongkok mengambil wuduk semula, mula dengan tertib pertama. Wak Sopian pun sekali lagi ikut sama. Kasihan wak Sopian. Ambil wuduk pun tak tahu. Entah-entah mandi junub pun dia tak tahu. Dasar lelaki tua bujang terlajak yang tiada tv di rumah, macam ni lah. Tak pernah tengok kuliah jumaat. Gua percepatkan rentak mengambil air wuduk sampai habis. Wak Sopian jadi tak tentu arah.

Selesai wuduk, gua melangkah menuju tangga surau. Menyusup di celah-celah pemuda-pemuda kampung yang masih rancak bercerita di tangga surau. Cerita perempuan, cerita bola, cerita pancing, cerita ilmu kebal, cerita dajjal, sampailah ke cerita tenggiling mereka ini bercerita. Gua malas mahu campur. Gua melangkah sopan menuju ruang dalam surau.

"Patutnya, bila di surau ini kita beriktikaf dengan berwirid. Bukan bercerita hal-hal keduniaan!!." satu suara tertangkap di telinga. Itu suara Wak Sopian di tangga surau. Amboi, pandai pula Wak Sopian bertarbiah.

Di dalam surau, sudah ada berpuluh jemaah. Ada yang duduk bersandar ke dinding dan ada yang duduk membentuk beberapa kumpulan kecil. Jemaah wanita pula berada di bahagian belakang. Dipisahkan dengan rentangan kain warna kuning. Gua berdiri tegak di tengah-tengah surau. Pandang jam usang di dinding hadapan surau. Ikut jam, sudah 30 minit lepas solat isya. Gua toleh kiri dan kanan. Mungkin semua dah berjemaah isya tadi rasanya. Sebelum ustaz Samizul pecut motor cari buku panduan tarawih tadi.

Gua tarik nafas dalam-dalam. Mahu mula solat isya. Belum sempat gua mula, Hj.Bobby lontarkan suara.

"Haa!! kamu. Ustaz Samizulnya mana? Dah lama betul dah ni." Hj.Bobby, ketua kampung duduk bawah mimbar tanya sama gua. Suara-suara mengeluh pun mula memenuhi ruang dalam surau. Gelengan-gelengan kepala mula kelihatan. Mata-mata pun mula memandang gua yang berdiri di tengah masjid. Ah, jadah apa pula seperti gua yang bersalah.

"Haihh..kamu ni. Kalau macam tu, biar saya saja jadi imam tarawih malam ni. Ustaz Samizul ada masalah agaknya." Hj.Bobby bangun dari duduk.

Jemaah dalam surau, kucar-kacir pandang satu sama lain. Muka semua jadi gelabah bila Hj.Bobby mahu jadi imam tarawih malam ini. Wak Sopian muncul di tepi gua siap geleng kepala.

Jemaah surau mula jadi risau.

4.8.11

Kampung Pecah : Tarawih II



"Ah, kau diam ni kenapa? Ada kah tiada?"  Soal ustaz Samizul sekali lagi.

"Errrr.." Gua cuba buka mulut. Belum sempat gua buka mulut.

preengggg!!!! Ustaz Samizul pecut motor meninggalkan gua sendiri. Rasanya ustaz Samizul dah dapat tangkap apa yang ada dalam gua punya hati. Gua geleng kepala dua tiga kali sebelum mula melangkah semula menuju ke surau.

"Takkan solat tarawih pun boleh lupa. Jenis sudah terhantuk baru terngadah punya ustaz." Gua bicara sendiri.

Setibanya gua di perkarangan surau, kelihatan beberapa pemuda kampung sedang duduk bertenggek di tangga surau berborak hal keduniaan. Ariez Hazaril dan Zahiddin lah tekongnya. Di dalam surau pula, suara Hj.Bobby, ketua kampung Pecah sedang bergema-gema menipu jemaah yang lain.

"Astaghfirullah" gua beristighfar banyak kali.

Tapi satu hal yang membuat gua rasa bangga pada kampung ini, bila saja ramadhan menjelma, surau pun akan jadi meriah. Surau jadi hidup tiap malam. Dari malam mula tarawih, sampailah malam takbir, surau kampung Pecah pasti akan berisi. Mungkin pasal tarikan ada makan-makan lepas solat tarawih. Tapi itu semua tak perlulah nak dikisah. Siapa kita mahu menilai niat manusia? Yang penting, surau ini ada jemaah dan meriah tiap malam ramadhan. Itu sudah cukup baik.
 
Gua terus menapak ke batang paip tepi surau untuk mengambil air wudhu. Di tempat berwuduk ada Wak Sopian tengah berdiri hisap rokok daun.

"Pandai juga kau datang tarawih, ya?" perli Wak Sopian sama gua. Gua cuma mampu menjawab dengan senyuman yang tipis. Bukan sebab bongkak, tapi gurauan sedemikian kalau dijawab, bakal membawa kepada persengketaan dan sikap kurang ajar pada orang tua.

Gua buka kopiah dan lipat-lipat masuk dalam kocek baju melayu. Pili paip gua pusing. Air mengalir perlahan. Wak Sopian pun turut memusing pili paip di sebelah lepas menjentik puntung rokok ke perkarangan surau.

Gua naikkan lengan baju, membongkok dan mula membasuh tangan sebagai tertib mula proses berwuduk. Wak Sopian pun mula membasuh tangan. Gua berkumur-kumur tiga kali, Wak Sopian pun berkumur-kumur tiga kali. Gua masukkan air ke hidung lima kali, Wak Sopian pun masukkan air ke hidung lima kali. Gua basuh muka empat kali, Wak Sopian pun basuh muka empat kali.

Gua berhenti seketika dan berdiri tegak menadah tangan berdoa tengok langit. Wak Sopian pun buat benda yang sama. Gua toleh ke kiri tengok Wak Sopian, Wak Sopian tetap mendongak langit mulut terkumat-kamit.

Gua kerut dahi, hati rasa simpati.

3.8.11

Kampung Pecah : Tarawih

Hari yang ditunggu sudah pun menjelma. Sungguh, gua rasa amat teruja sekali bila mendengar pengumuman tarikh mula berpuasa dalam tv kedai makcik miera edora sebentar tadi. Gua pantas memecut balik rumah mandi dan mengenakan baju melayu warna ungu dan kain sarung cap gajah duduk untuk pergi ke surau bersolat tarawih secara jemaah. Solat jemaah di surau ni lebih afdhol dari solat sendiri di rumah. 27 kali lipat pahalanya. Kena lagi bertarawih di bulan puasa, entah berapa kali lipat lagi pahala yang gua akan dapat. Dengan semangat yang berkobar dan penuh dengan keimanan, gua turun dari rumah dan mula berjalan kaki dengan langkahan yang cepat. Takut terlepas pula bertarawih di malam pertama ramadhan.

Di pertengahan perjalanan, kedengaran teriakan motor dari arah depan. Gua kenal betul dengan bunyi teriakan motor itu. Itu motor ustaz Samizul. Guru agama merangkap imam tetap Kg.Pecah. "Eh, mahu ke mana pulak ustaz Samizul ni? Tak dapat berita kah esok mula puasa? Malam ni patutnya dah tarawih." Gua bersoal jawab dengan malaikat di bahu kiri.

Gua matikan langkah. Berdiri tegak di tepi jalan dan angkat tangan kanan. Lampu tinggi motor ustaz Samizul memanah mata gua. Ustaz Samizul memberhentikan motor krissnya tepat di tepi gua berdiri.

Dalam kesuraman gelap permulaan malam Ramadhan, ustaz Samizul memaculkan pertanyaan, "Kau ada buku panduan solat tarawih kah di rumah?". Gua diam tak terkata.

Bersambung...