17.7.15

Solitude

"..for some people... solitude and isolation, can, or itself become a problem."

".. Not for me." (The Shining)

Untuk rekod, paling lama aku tak bercakap/berkomunikasi dengan orang adalah selama dua hari berturut-turut. Kalau masuk hari ketiga mungkin aku dah boleh dengar semut semut yang sedang bersembang. Hmm.

17.6.14

Penulis agung

Di saat seorang penulis agung melangkah keluar seusai menyiapkan sebuah cerita, dia mendapati yang dia adalah manusia terakhir yang masih wujud di muka bumi ini. Tiada lagi manusia lain. Dia kehairanan dan mula menjadi amat takut. Tidak pernah dia berasa ketakutan yang sedemikian rupa. Dia menjerit sekuat hati sehingga suaranya bergema ke empat penjuru dunia, namun tiada yang menyahut selain lolongan beberapa ekor anjing-anjing jalanan. Dia masuk semula ke dalam rumah, duduk di meja tulis dan merenung  helaian kertas manuskrip cerita yang baru disiapkannya itu.

Siapa yang akan membacanya lagi kalau dah tiada sesiapa di dunia ini?

Dia mula terfikir akan anjing-anjing yang melolong di jalanan tadi. Dia jadi lega sedikit dan ketakutannya lenyap perlahan-lahan. Dia mengambil manuskrip ceritanya itu dan membawanya keluar rumah. Dia pergi menemui sekawanan anjing jalanan yang sedang berehat di tepi jalan.

Dia memberikan salam dengan teragak-agak. Salamnya cuma dijawab dengan renungan pelik anjing-anjing di situ.

"Saya baru siapkan sebuah cerita yang bagus," katanya. "Tapi saya memerlukan kalian untuk membacanya. Baru tahu samada cerita ni bagus atau tidak. Sebab, ianya tidak adil untuk cerita ini jika cuma saya sendiri yang membacanya dan kemudian mengatakannya bagus."

Anjing-anjing itu merenungnya dan bersetuju dalam diam untuk membaca ceritanya itu. Dia tersenyum. Manuskrip itu ditinggalkannya di hadapan anjing-anjing tersebut dan dia kembali ke rumah dengan linangan air mata kegembiraan.

Pada keesokan harinya, dia kembali menemui anjing-anjing itu. Alangkah terkejutnya penulis agung itu bila mendapati anjing-anjing yang ditemuinya semalam telah mati mengeras di tepi jalan dengan helaian manuskrip ceritanya yang berselerakan. Dia mengutip kertas-kertas manuskripnya itu dengan perasaan kecewa sambil diperhatikan oleh sekumpulan burung gagak yang kelaparan bertenggek di dahan-dahan pokok tepi jalan.

15.5.13

Life has to end. Love doesn't

Love, like rain, can nourish from above, drenching couples with soaking joke. Itu kata si Mitch Albom dalam novelnya; The Five People You Meet In Heaven.

Membaca rangkap itu, aku dalam keadaan paksa mengakui, selama ini, selama berada dekat dengan-mu, cinta aku itu bukanlah seperti hujan yang dapat menyuburkan-mu. Yang dapat melemaskan-mu di dalam dakapan kebahagiaan. Selain dari memberikan-mu sebuah  kehambaran - yang membuatkan hidup-mu penuh dengan kekontangan kasih sayang.

Bila kau mengatakan mahu pergi, tiadalah yang dapat aku lakukan selain diam. Kerana, diam itu sahaja yang dapat aku lakukan selama bersama dengan-mu. Dan aku tidak tahu jika kau akan kembali satu masa nanti.

Eddie tidak mampu dan enggan menerima kenyataan bila Marguerite pergi dari hidupnya. Meninggalkan dia keseorangan dan sunyi dari cinta selepas itu. Dan itu yang menyebabkan, Marguerite menjadi antara lima manusia yang Eddie temui di syurga. Dan saat bertemu Marguerite semula, Eddie akhirnya menyedari akan kesilapan hidupnya yang nombor empat. Ah! Itu syurga ciptaan Mitch Albom. Bukan syurga aku. Bukan syurga kau. Bukan syurga siapa-siapa pun.
....

 "Lost love is still love, Eddie. It takes a different form, that's all. You can't see their smile or bring them food or tousle their hair or move them around a dance floor. But when those sense weaken, another heightens. Memory. Memory becomes your partner. You nurture it. You hold it. You dance with it. Life has to end, Love doesn't.”- Marguerite.

7.5.13

Certot - Pasca

Tepat pukul 12.45 a.m, di sebuah tempat yang bertuhankan televisyen, jauh dari pusat pentadbiran kota, jelatanya menumbuk padu ke udara. Beramai-ramai. Serentak. "Kita menang!! Kita menang!!" Tempik mereka berulang kali. Hinggakan tempikan itu bergema di dalam tidur. Tidur yang berbantal-kan janji. Janji yang sekadar mimpi. Lumrahnya mimpi, lekas dilupakan sejurus menatap matahari pagi. 

"Ah! hidup-hidup kita masih juga begini," keluh mereka menarik kepingan akhir wang subsidi.

22.4.13

Sepuloh Nama - Novel


*****
 
“Tuan detektif! Adakah mangsa punya kaitan dengan kehilangan Maiza?” Soalan dari salah seorang reporter di perkarangan apartmen itu menusuk ke telinganya. Reporter ini pantas buat spekulasi. Syaz hanya membisu buat-buat bodoh dan melangkah menuju masuk ke bangunan apartmen.
Kes Maiza masih lagi belum selesai, hari ni ada lagi nyawa yang melayang. Cibai! 

****

Ini adalah novel kedua saya yang bertajuk Sepuloh Nama. Diterbitkan oleh Lejen Press. Dan akan mula dipasarkan di Pesta Buku Kuala Lumpur (PWTC) bermula 26 April ini. Selamat membaca!

*Untuk membaca Prolog, Bab 1 & 2, sila ke link ini.
** Untuk belian online, sila ke link ini.

28.3.13

Sampul Baru. Edisi ke-Dua


Sesungguhnya, tiadalah pernah terlintas di otak saya melihat buku ini dicetak sampai ke-dua kali. Syukur dan terima kasih.

27.12.12

Disember Dua Puloh Tujoh

Laut yang berolak tenang tiba-tiba saja jadi tak keruan. Gelombang-gelombang gergasi jelas kelihatan. Sekumpulan ikan paus putih melompat dari dalam laut terpekik-pekik macam ikan gila. Ketam-ketam jadi gelabah. Udang-udang terpinga-pinga. Obor-obor berbisa berbunuhan antara satu sama lain. Sotong kurita melepaskan cairan hitam memecut melarikan diri ke mana-mana. Jerung-jerung kehilangan gigi. Semua makhluk di lautan mendadak huru-hara.

Dum!

Letupan kedengaran serentak dengan percikan cahaya hijau di ufuk timur lautan pasifik. Menjadikan keadaan laut yang huru-hara tadi jadi senyap dan tenang semula. Tapi selang tujuh saat, kelihatan gelembung-gelembung air muncul di permukaan laut. Dan kemudian muncul pusaran air yang pada mulanya kecil menjadi besar, besar dan besar. Sehingga jika dipandang dari atas, seperti lautan yang luas itu telah berlubang.

Dari pusaran air di tengah lautan pasifik itu, muncul perlahan-lahan sebuah kapal layar besar yang badan kapalnya diperbuat seratus peratus dari kayu jati asli, layarnya di\jahit dari kain sutera negara China. Itulah kapal hantu yang menjadi sebutan pelaut-pelaut antarabangsa selama ini, The Flying Dutchman. Hanya muncul di lautan sekali setahun tika matahari dua puloh tujoh disember terbit di ufuk timur.

Di atas dek kapal, kapten William Turner sedang berdiri tegak menatap sesuatu di tangannya. Mengangkat-angkatnya ke atas, ke bawah, ke kiri, ke kanan. Dahinya berkerut-kerut.

"Kapitan! Kapitan!" sa-orang kelasi menjerit-jerit di hujung kapal. "Sini...sini...ada line," pekik kelasi itu pada kapten William yang mula melangkah ke hujung kapal menggeleng-geleng kepalanya.

"Apa punya taliponlah payah dapat line ni?" keluh kapten William di hujung kapal sambil mula mendail nombor seseorang.

trruuttt... truuuutt.. trruuutt...

"Hello..hello..PK..dengar? Hello..." kata kapten sejurus panggilannya di jawab.
"Ya..ya.. hello dengar. Siapa ni?"
"Ha! Gua ni. William Turner dari Flying Dutchman."
"William Turner? Peh! Apahal? Lama kau tak talipon."
"Kakaka. Sori, alam barzakh tarak line."
"Hahaha. Jilaka!"
"Ni gua talipon ni nak bagitau, ini hari 27 haribulan disember. Lu punya birthday kan? Ha! Selamat hari jadi lah, bero!"
"Woha! Thank you..thank you!"
"Jadi, lu dah sedia ke alam barzakh kah, bero? Gua mau datang ambil lu ni."

Tuttt...tuttt...tuttt... Panggilan dimatikan. Kapten William mencarut.

14.12.12

Main Gila

"Di sebalik senyuman manusia-manusia yang kelihatan normal itu, terselit kegilaan yang ingin bebas dari segalanya yang menjerut kehidupan yang tidak akan pernah berhenti mengulangi sejarah yang tidak dimakan waktu sehinggalah menemui maut. Boleh jadi kau mati dengan kepala yang terpisah dari tubuh, atau boleh jadi kau mati melihat jantung kau direntap keluar mahupun mulut pistol bercium dengan mulut kau. Main Gila, sebuah buku yang menceritakan kegilaan yang menari-nari di atas garisan normaliti."

Untuk menutup tahun ini, lu orang bolehlah kiranya ber- Main Gila dengan antologi cerpen yang bagi gua adalah buku yang paling gila setakat ni. Boleh klik link di bawah untuk beli. Piu! Piu! Piu!

http://shop.lejenpress.com/shop/main-gila/



12.11.12

Buku Jalanan Sandakan

Sandakan adalah daerah yang besar tapi terpencil dari pandangan mata-mata orang kebanyakan. Bila saya ditanya oleh manusia dari mana-mana, apa yang ada di daerah ini, saya hanya mampu berkata - "entahlah, orang utan barangkali."

Tapi mulai semalam, jika soalan sebegitu ditanyakan kepada saya lagi selepas ini, pastinya jawapan saya sudah berbeda -"Oh! di sini pun ada Buku Jalanan." Dan manusia yang mendengar jawapan saya itu mungkin terkejut. Lalu mati. Eh.

Dari program semalam, dapatlah saya ketahui bahawa di daerah 'terpencil' ini, masih ramai manusia yang menganggap buku itu adalah buku, dan bukannya bom -bilamana jika disentuh akan meletup dan menjahanamkan diri sendiri.

Tahniah dan terima kasih pada yang terlibat dan menjayakannya. Semoga program sukarela sebegini diteruskan sampai kiamat. Dan diharapkan selepas ini akan ada lagi aktiviti karya-seni dijalankan di daerah paling timur Malaysia ini. 

p/s: Buku Jalanan Sandakan mencari sukarelawan (di Sandakan) yang berkomitmen macam Alex Ferguson untuk sama-sama 'meng-incas' aktiviti mingguan ini. Jika ada, sila offer diri di page fesbuk BukuJalananSandakan (Klik).


*Kredit Gambar : WanWaris (Klik)

1.9.12

TAMU - Antologi Cerpen Sabahan


PRA-KISAH
“Guntur duduk bersila di pinggir pasar Tamu Kota Belud. Dia menyalakan rokok kirainya di bawah matahari pukul satu tengahari. Dia tidak pasti apakah itu rokok terakhir atau akan ada lagi selepas ini. Dengan kirai yang menyala terselit di bibir, Guntur tersenyum tipis. Senyuman Guntur juga ada sinisnya. Puas hatinya melihat mangkuk tembaga di hadapannya itu sudah penuh dengan wang ringgit. Hasilnya bukan kepalang minggu ini. Tidak seperti minggu yang lalu ketika dia berniaga di pasar Tamu Gaya Street. Di katakan, Guntur adalah seorang penjaja cerita yang paling sohor di pasar-pasar Tamu Sabah. Palsu atau benar ceritanya itu, tiada siapa-lah yang peduli. Masyarakat hanya mahu mendengar cerita Guntur yang penuh drama dan terkadang mendatangkan debar di dada. Sungguh, Guntur seperti memiliki satu kuasa sakti yang dapat mengkhayalkan orang kebanyakan dengan ceritanya. Namun, janganlah kalian tersilap tafsir, Guntur bukanlah seorang Yang Berhormat walaupun ada sesekali terlintas di hati Guntur untuk menjadi seorang Y.B. 

Prakk!! 

Cahaya halilintar memercik dari langit yang terang benderang. Memanah tepat-tepat di mangkuk tembaga Guntur. Wang ringgitnya bertaburan. Guntur tergamam. Tubuhnya kaku. Matanya terpaku. Kirainya pun jatuh. Mangkuk tembaga itu melayang entah ke mana-mana, digantikan dengan sebuah buku yang memancarkan cahaya berwarna pelangi. Guntur bagaikan tersihir menatap buku di hadapannya itu. Bagaikan sebuah mimpi, dia memicingkan matanya mengeja empat aksara di kulit buku yang bercahaya... Langit tiba-tiba berdentum umpama merayakan turunnya buku itu dari langit. “Ah! Ini fiksyen!” bilang si Guntur pada orang kebanyakan yang mulai berkumpul mengelilinginya. 

*******

TAMU, sebuah antologi cerpen fiksyen yang bukan fiksyen dari 11 orang anak-anak negeri di bawah bayu - Syarifah dan Anwar (Bukujalanan KK), Ophan Bunjos, Fallen Angel, Sabridah, Nazdi-has, Iqram Murtaza, Nazihah Rifhan, Ruhafizan, Mimie Nong, dan saya sendiri. Sekiranya berminat, bolehlah ke link di bawah untuk melakukan urusniaga yang diredhai tuhan.